Diplomat Kesatuan Eropah terima kunjungan pemimpin Pakatan


Amin Iskandar

Kumpulan diplomat Kesatuan Eropah mengadakan pertemuan dengan delegasi pemimpin Pakatan Harapan yang diketuai Dr Mahathir Mohamad. – Gambar Facebook, 26 Januari, 2018.

PAKATAN Harapan (PH) mendapat lonjakan baru semalam apabila kumpulan diplomat Kesatuan Eropah (EU) mengadakan pertemuan dengan delegasi pemimpin parti diketuai calon perdana menteri gabungan pembangkang itu, Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, A Kadir Jasin, pertemuan yang berlangsung dua jam itu diadakan di kediaman Duta EU ke Malaysia, Maria Castillo Fernández, disertai 14 Duta dan tiga Charge de Affairs negara-negara EU.

“Seperti dulu-dulu apabila berjumpa Dr Mahathir adalah peristiwa penting bagi para diplomat asing di Malaysia.

“Walaupun beliau bukan perdana menteri lagi, tetapi sekadar calon perdana menteri, namun suasananya tetap sama,” tulis bekas ketua pengarang New Straits Times itu di Facebook.

Delegasi PH turut disertai Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Naib Presiden Bersatun Abdul Rashid Abdul Rahman; Pengerusi DAP, Tan Kok Wai; Naib Presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar dan Ketua Setiausaha PH, Saifuddin Abdullah.

Pada pertemuan itu, PH memberitahu duta negara-negara Eropah tentang pentingnya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dijalankan secara bebas dan adil, kata Mohamad Sabu.

Timbalan presiden PH itu berkata perbincangan dengan duta negara-negara Kesatuan Eropah semalam berkisar tentang pentingnya dunia mendesak Perdana Menteri Najib Razak memberi jaminan PRU14 berjalan dengan adil.

“Mereka tidak boleh campur tangan secara langsung dalam pilihan raya Malaysia.

“Akan tetapi mereka boleh tekan Najib untuk pastikan pilihan raya bebas dan adil, itu sahaja yang kita minta,” kata Mohamad yang juga presiden Amanah kepada The Malaysian Insight.

Mohamad berkata, PH juga menggesa negara-negara Eropah memohon kepada kerajaan Malaysia untuk membenarkan mereka menghantar pemantau pilihan raya antarabangsa.

“Sekiranya pilihan raya di Malaysia bebas dan adil, tiada sebab untuk halang kedatangan pemantau antarabangsa,” katanya.

Mohamad yang dikenali sebagai Mat Sabu berkata, pertemuan itu turut diisi dengan sesi dialog yang berjalan dengan begitu baik dan lancar.

“Kami bertukar-tukar pandangan. Mereka bertanya juga tentang PH,” katanya.

Menurut Mohamad, daripada pengalamannya bersama pembangkang sebelum ini belum pernah pertemuan seumpama ini berlaku menjelang pilihan raya.

“Kebiasaannya, duta negara Eropah bertemu dengan kita melalui parti masing-masing. Biasanya hanya presiden dan setiausaha dijemput.

“Tetapi kali ini kami dijemput sebagai PH. Mungkin ini isyarat mereka nampak yang PRU14 kerajaan di Malaysia akan bertukar tangan,” katanya. – 26 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • nampak mcm ade agenda yg dibincangkan utk mensabotaj kerajaan yg sedia ada je ni..dasar busuk hati punya PH..sanggup bersama-sama pihak luar bg menjatuhkan kerajaan..

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amer Farid · Ulasan