Agamawan tolak falsafah, masyarakat hilang pedoman kemanusiaan


Mohd Syazreen Abdullah

SEJAK berzaman-zaman dahulu, umat Islam seolah-olah trauma dengan bidang falsafah. Bagai air dan minyak, mereka sukar mengadunkan kajian hubungan antara konsep agama dan falsafah. 

Ia diburukkan lagi apabila ada aliran menolak metafizik sedangkan unsur itu utuh dalam pemikiran keagamaan. 

Sebenarnya, ada aliran falsafah yang mementingkan hal metafizik. Namun, kerana wujudnya aliran yang bertentangan, falsafah dibakul sampah seluruhnya.

Justeru, banyak tradisi keilmuan agama menjauhkan dari bidang falsafah. Akibatnya, hubungan tersebut menjadi tabu dan tidak saling menyapa. Bahkan, pengamal falsafah kerap dilabel “sesat”.

Kerenggangan hubungan falsafah dan agama menandai aras kemunduran pemikiran Islam. 

Semakin pengaruh golongan ortodoks mengukuh dalam jalur keilmuan Islam, nuansa pemikiran falsafah terus tenggelam, bahkan dibenamkan. 

Polemik antara Imam al-Ghazali dan para filsuf seperti Ibn Sina sebetulnya terbatas pada perbahasan wilayah metafizik, bukan keseluruhan disiplin falsafah. 

Itupun disalah anggap banyak pihak. Akhirnya, sumbangan falsafah dan hubungannya dengan agama menjadi kabur. Gara-gara itu juga, banyak pihak menganggap al-Ghazali memusuhi falsafah.

Tidak kurang umat Islam khususnya golongan sunni terpengaruh dengan dakyah “falsafah menyesatkan umat Islam”. 

Ketabuan itu mengakibatkan langka sekali kajian falsafah dalam tradisi pemikiran keagamaan Islam termasuk Malaysia. 

Faham salah tentang falsafah

Di negara ini, pengajian falsafah terbatas kepada kajian metafizik tanpa menyentuh aspek epistemologi dan etika. 

Keilmuan falsafah dalam kurikulum pendidikan Islam terlalu jauh dari kalangan mahasiswa, apatah lagi pelajar madrasah dan sekolah agama. 

Mereka jarang didedahkan dengan kajian bidang falsafah seperti Ibn Arabi, Suhrawardi, Sad al-Din al-Shirazi (Mulla Sadra) dan banyak lagi. Tokoh-tokoh tersebut juga dipandang “sesat” di mata umat Islam.

Hakikatnya, agamawan yang lahir tanpa disiplin ilmu falsafah gagal mencerap masalah kemanusiaan dalam kehidupan beragama, lebih-lebih lagi masyarakat Malaysia yang rencam budaya dan agama. Mereka tenggelam dalam jalur “Islam mazhab” yang tebal.  

Para agamawan juga mentafsir falsafah tanpa memahami disiplin ilmu hingga gagal mencerap masalah pascamodenisme. 

Mereka cuma pandai menyebut “postmordenism” di surau-surau tetapi tidak pernah memasuki wilayah terma relativisme, pluralisme, mahupun dekonstruktisme. 

Akhirnya mereka mengambil jalan pintas dengan menyimpulkan terma tersebut bertentangan dengan Islam, dijatuh hukum sebagai “sesat”. 

Mundur berfikir

Lupakah para agamawan betapa tradisi keilmuan Islam seperti bidang mantik, kalam berkembang maju kerana adanya sumbangan pengaruh keilmuan Greek dari wacana Aristotelian. 

Namun, akibat pemisahan disiplin falsafah dan agama, cara berfikir umat Islam terus-terusan mundur. 

Keterasingan itu juga menyebabkan pengajian falsafah tidak membawa sumbangan baharu kepada nilai kemanusiaan. 

Kalau ada pun, sekadar berkisar ilahiyyat, tabiiyyat, mantiq tanpa menyentuh persoalan insaniyyat (kemanusiaan) atau antropologi dan tarikhiyat (sejarah). 

Dalam tradisi pemikiran Islam, pendekatan sejarah baru dimulai Ibn Khaldun (1332-1406) tetapi tidak dikembangkan lebih mendalam lantaran jatuhnya wilayah Islam dalam era kolonialisme. Sekali gus, tiada penemuan baru dalam dunia sosial kemanusiaan.

Sedarkah para agamawan betapa perkembangan keilmuan terbantut, tiada penemuan baharu dalam wacana pemikiran Islam masa kini. 

Perbahasan asyik tertumpu kepada isu khilafiyah berbanding sumbangan pemikiran dalam menanggapi isu kemanusiaan.

Lantaran sikap jumud, para agamawan selesa mempertaut agama dengan kekuasaan tanpa bersikap jujur dalam menyuburkan nilai kemanusiaan. 

Kerana itu, perkembangan keilmuan Islam di Malaysia masih di takuk lapuk, bahkan menjurus kepada perselisihan sesama umat.

Kerana ego yang tiada kesudahan, akhirnya para agamawan hanya menyogok doktrin dan taklid dalam struktur pemikiran keagamaan, bukan menyubur nilai kemanusiaan dalam beragama. 

Rumusan dangkal akibat gagalnya falsafah dan agama diharmonikan juga menjadikan umat Islam tidak mampu mendepani perubahan zaman dan terperosok dalam pelbagai masalah sejagat.

Fenomena ini disebut pemikir Islam Fazlur Rahman sebagai “intellectual suicide”. Ia berpunca dari jauhnya falsafah dari lingkungan pengajian Islam. 

Akhirnya perbahasan perihal Islam menjadi kaku.  Para agamawan tidak lagi memajukan, jauh sekali menegakkan kemanusiaan. 

Justeru, kita harus bermuhasabah. Adakah kurikulum Pendidikan Islam harus kekal tabu dalam hal berkaitan kajian falsafah? 

Bukankah ada hadis menyebut: “Tafakkaru fii khalqi allahi wala tafakkaru fii dzathi fa tahlikuu” yang bermaksud fikirlah tentang penciptaan Allah (kemanusiaan) bukannya berfikir tentang zat Tuhan. – 12 Oktober, 2021.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen