Bersatu Putrajaya lebih utuh, kata pemimpin ketika desas-desus ramai keluar parti


Alfian Z.M. Tahir

Ketua Pemuda Bersatu Putrajaya Adi Ikmal Isa berkata kedudukan parti di wilayah persekutuan itu bertambah kuat dengan pembukaan lima lagi cawangan baharu di situ. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Oktober, 2021.

LAPORAN yang mendakwa 120 ahli Bersatu bahagian Putrajaya keluar parti minggu lalu adalah tidak benar, kata bendaharinya, Adi Ikmal Isa.

Sebenarnya, ketua pemuda Bersatu Wilayah Persekutuan itu memberitahu The Malaysian Insight, partinya akan membuka lagi lima cawangan baharu di Putrajaya bulan depan.

“Kalau ada masalah di sini (Putrajaya), kami tidak akan buka lima cawangan baharu. Kami sudah ada 12 cawangan yang ada dan lima lagi yang akan dibuka tidak lama lagi. Semuanya 17 cawangan di Putrajaya sahaja.

“Jadi kami kuat dan sebenarnya kami ada mesyuarat semalam. Parti masih berfungsi baik. Kami adakan mesyuarat secara berkala,” kata Adi.

Minggu lalu, Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin berkata parti itu tidak terjejas dengan tindakan bekas ketua Bersatu Putrajaya Erwan Mohd Tahir yang menyertai Umno semula.

Hamzah berkata kepimpinan bahagian dan akar umbi Putrajaya tetap teguh walaupun Erwan letak jawatan, menambah timbalan ketua bahagian Fathul Azam Hashim kini menjalankan tugas sebagai ketua bahagian.

Adi berkata Erwan telah mengundurkan diri sejak Oktober 2020 selepas kalah dalam pemilihan naib presiden parti.

Beliau turut menafikan dakwaan 120 ahli Bersatu Putrajaya telah meninggalkan parti itu.

“Saya simpan data setiap ahli Bersatu di sini. Cuma tujuh dari mereka yang keluar dari parti dan waktu kami buat semakan, mereka beritahu yang mereka tidak tahu nama mereka didaftarkan dalam Umno.

“113 nama lain bukan ahli Bersatu di Putrajaya. Mereka ahli bahagian lain,” jelas Adi.

Ketua bahagian Putrajaya, Fathul Azam Hashim turut menyuarakan sentimen Adi, berkata parti itu berjalan dengan baik.

Tegasnya kepimpinan dan ahli akar umbi kekal bersatu.

“Kami sangat aktif di sini. Terdapat banyak acara yang kami anjurkan. Parti masih berfungsi.

“Jika Umno ingin cakap kita dalam masalah, itu terserah kepada mereka,” tambahnya. – 11 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen