Bersatu tidak tergugat dakwaan pemimpin, ahli keluar parti, kata Hamzah


Diyana Ibrahim

Bersatu tidak tergugat dengan dakwaan kononnya lebih ramai pemimpin dan ahlinya akan keluar parti dan menyertai Umno, kata Setiausaha Agung, Hamzah Zainudin.

Mereka yang mahu keluar dari Bersatu ada hak untuk berbuat demikian dan parti tidak menghalang keputusan mereka, katanya.

Malah Hamzah turut menolak dakwaan tindakan mereka akan menyebabkan Bersatu berpecah.

“Tidak (berpecah) sebab yang keluar itu bukan pemimpin. Ia ahli parti ahli biasa, perkara itu normal dan itu hak mereka.

“Parti tidak boleh menyekat hak mereka untuk sertai mana- mana parti sekalipun,” katanya kepada media selepas program di Kuala Terengganu, hari ini.

Hamzah mengulas kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi semalam yang mendakwa akan ada lebih ramai pemimpin dan ahli Bersatu menyertai Umno.

Zahid berkata Umno sedia menerima permohonan mereka, termasuk bekas ahli yang sebelum ini dikenakan tindakan tatatertib oleh parti.

Kenyataan Zahid muncul selepas bekas Ketua Bersatu Putrajaya bersama lebih 120 ahli parti itu kembali menyertai UMNO beberapa hari lepas.

Mengulas lanjut, Hamzah yang juga ahli Parlimen Larut menyifatkan kenyataan Zahid sebagai propaganda politik atau strategi untuk menarik ahli Bersatu.

Namun Hamzah berkata Bersatu semakin kuat dan ini dibuktikan dengan pertambahan ahlinya dari 300,000 lepas dan ketika ini sudah mencecah 520,000 ahli.

“Saya jangka bila umumnya sayap baharu keahlian Bersatu akan makin bertambah,” katanya. – 4 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen