Parlimen lulus RUU benar kerajaan guna KWAN untuk Covid-19


Chan Kok Leong Raevathi Supramaniam

Menteri Kewangan Senator Tengku Zafrul Aziz berkata kerajaan berharap KWAN digunakan untuk pemerolehan vaksin dan apa-apa perbelanjaan berhubung vaksin untuk apa-apa wabak penyakit berjangkit. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Oktober, 2021.

DEWAN Rakyat sebulat suara meluluskan rang undang-undang (RUU) untuk membolehkan kerajaan menggunakan Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) bernilai RM16 bilion bagi tujuan pemerolehan vaksin Covid-19.

Kelulusan itu bersifat retrospektif kerana pada 21 April kerajaan Perikatan Nasional telah meluluskan ordinan darurat untuk memanfaatkan dana tersebut.

“Memandangkan ordinan darurat sudah tamat, kerajaan berhasrat bentang RUU untuk membolehkan dana tersebut digunakan untuk perolehan vaksin Covid-19 dan perbelanjaan yang berkaitan,” kata Menteri Kewangan Senator Tengku Zafrul Aziz di Dewan Rakyat hari ini.

Semasa pembentangan pindaan RUU itu, Tengku Zafrul berkata KWAN ditubuhkan 30 tahun lepas dengan mempertimbangkan generasi akan datang.

“KWAN boleh digunakan untuk pembangunan atau pinjaman. Tetapi kami berharap dapat digunakan untuk perolehan vaksin,” kata Tengku Zafrul, menjelaskan mengapa kerajaan mahu Parlimen luluskan pindaan tersebut.

Katanya negara pengeluar mineral lain mempunyai dana amanah yang serupa dan juga telah menggunakan dana mereka untuk mengurangkan kesan pandemik Covid-19.

Setakat September, kerajaan telah menggunakan RM3.7 bilion dari KWAN untuk tujuan pemerolehan dan pengurusan vaksin, kata Tengku Zafrul.

KWAN, yang ditadbir oleh Akta Kumpulan Wang Amanah Negara 1988, diuruskan oleh Bank Negara Malaysia.

Ia ditubuhkan pada 1988 untuk menghimpunkan dana daripada sumber asli negara, yang disumbangkan sebahagian besar oleh Petronas dan Kumpulan Wang Disatukan.

Menurut kerajaan, ia menganggarkan RM5 bilion untuk pembelian dan perbelanjaan berkaitan vaksin Covid-19.

Kerajaan juga merancang untuk membiayai suntikan penggalak terhadap penduduk setelah 90 peratus populasi dewasa telah lengkap divaksinasi bulan ini. – 11 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen