Putrajaya guna duit petroleum untuk vaksin Covid-19


Dana dari KWAN dihimpunkan bagi membeli aksin dan perbelanjaan lain untuk menangani penularan pandemik Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 April, 2021.

PUTRAJAYA akan menggunakan dana daripada Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN), yang dihimpunkan kebanyakannya daripada sumber hasil petroleum, bagi membeli vaksin dan perbelanjaan lain untuk menangani penularan pandemik Covid-19.

Setakat 31 Disember 2019, terdapat RM16.03 bilion dalam KWAN, seperti dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2019. 

Ini adalah tambahan kepada RM17 bilion yang diluluskan bagi tahun ini dalam Belanjawan 2021 untuk Tabung Kumpulan Wang Covid-19.

Dana itu akan digunakan melalui ordinan darurat yang meminda Akta Kumpulan Wang Amanah Negara 1988. Ia diberi nama Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021.

Pindaan yang berkuat kuasa pada hari ini dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 14 April lalu.

Pindaan itu memasukkan satu perenggan pada Seksyen 6 akta berkenaan yang berbunyi seperti berikut: “pemerolehan vaksin dan perbelanjaan apa-apa yang dilakukan berhubung dengan vaksin bagi suatu wabak apa-apa penyakit berjangkit sebagaimana yang dinyatakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.”

Peruntukan Seksyen 6 yang sedia ada menyebut dana itu boleh digunakan bagi tujuan pembangunan serta pinjaman atau pendahuluan kepada kerajaan persekutuan atau negeri.

Kumpulan Wang Amanah Negara dibentuk pada 1988 untuk menghimpunkan dana daripada sumber asli negara, yang disumbangkan sebahagian besar daripadanya oleh Petronas dan Kumpulan Wang Disatukan.

Ia diurus oleh Bank Negara Malaysia. – 21 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen