Umno bermesyuarat Khamis ini berhubung krisis Melaka 


MAJLIS Tertinggi (MT) Umno akan bermesyuarat pada Khamis ini bagi membincangkan kemelut politik di Melaka, kata setiausaha agungnya Ahmad Maslan.

“Segala cadangan dan langkah mengenai apa yang perlu dilakukan selepas ini akan dibentangkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Ab Rauf Yusoh bersama Ketua Menteri Sulaiman Md Ali kepada MT.

“Tentunya presiden (Dr Ahmad Zahid Hamidi) dan timbalan presiden Umno (Mohamad Hasan) serta perdana menteri (Ismail Sabri Yaakob) akan memberi pandangan mengenai situasi politik Melaka,” katanya kepada pemberita selepas bertemu pimpinan Badan Perhubungan Umno Melaka di Klebang malam tadi.

Ab Rauf selaku Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada 5 Oktober lepas dilapor berkata Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam telah membuat pertimbangan dan bersetuju DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri diadakan.

Ia rentetan daripada tindakan empat ahli DUN (Adun) kerajaan Idris Haron (BN-Sungai Udang), Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) yang mengumumkan hilang kepercayaan serta menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman.

Sebelum ini, kerajaan Melaka pimpinan Barisan Nasional (BN) diwakili 17 Adun terdiri daripada 14 Adun Umno, dua Bersatu dan satu Bebas manakala pembangkang memiliki 11 kerusi iaitu tujuh DAP, dua PKR dan dua Amanah.

Mengulas jumlah kerusi yang akan ditandingi serta calon, Ahmad memaklumkan perkara itu masih dalam perundingan dan belum dimuktamadkan lagi. – Bernama, 11 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen