Presiden Republik Czech dikejar ke hospital 


Presiden Milos Zeman dikejarkan ke hospital sehari selepas sekutunya Perdana Menteri Andrej Babis kalah tipis dalam pilihan raya.– Gambar EPA, 11 Oktober, 2021.

REPUBLIK Czech kini dalam ketidakpastian selepas Presiden Milos Zeman dikejarkan ke hospital sehari selepas sekutunya Perdana Menteri Andrej Babis kalah tipis dalam pilihan raya. 

Presiden itu yang memainkan peranan utama dalam mencalonkan perdana menteri, dikejarkan ke hospital dengan ambulans selepas bertemu dengan Babis dan dilihat tidak sedarkan diri. 

Menurut doktornya, beliau kini dirawat di unit rawatan rapi.

Sementara itu sebuah akhbar tabloid Blesk yang memetik ketua pejabat Zeman, Vratislav Mynar melaporkan “dia hanya tertidur ketika dalam perjalanan, itu sahaja. Bukan tidak sedarkan diri”.

Menurut laporan DNES, Zeman yang mempunyai masalah hati kini dalam keadaan stabil dan mungkin akan dirawat selama tiga minggu di hospital. 

“Walaupun ianya melibatkan presiden, saya tidak ada kuasa untuk berikan butiran lanjutkerana pesakit dilindungi undang-undang,” kata jurucakap hospital Jitka Zinke kepada AFP. 

Jurucakap Zeman, Jiri Ovcacek menerusi Twitter berkata keadaan Zeman tidak akan menjejaskan rundingan pasca pilihan raya. – AFP, 11 Oktober, 2021.


  



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen