RUSIA semalam usir 20 diplomat Czech, sehari selepas Prague mengusir 18 diplomatnya yang dikenal pasti menjadi ejen rahsia.
Moscow dalam pengumumannya semalam berkata 20 diplomat Czech terbabit diisytihar sebagai “persona non grata” dan diarahkan keluar dari Rusia selewat-lewatnya hari ini.
Pengumuman dibuat dibuat selepas duta Czech di Moscow, Vitezslav Pivonka, dipanggil oleh Kementerian Luar Rusia.
“Pivonka dimaklumkan bahawa 20 kakitangan kedutaan Czech di Moscow diisytihar ‘persona non grata’.
“Mereka diarahkan tinggalkan negara ini selewat-lewatnya 19 April 2021,” menurut kenyataan kementerian, sambil menambah tindakan kerajaan Czech mengusir diplomat Rusia sebelum itu adalah “tanda permusuhan”.
Sabtu lalu, kerajaan Czech mengusir 18 diplomat Russia yang dikenal pasti menjadi ejen rahsia perkhidmatan SVR dan GRU yang disyaki terbabit dalam kes letupan pada 2014.
Polis republik itu juga berkata dua warga Rusia sedang dicari berhubung letupan bom yang mengorbankan dua nyawa, yang menggunakan pasport digunakan suspek kes keracunan bekas ejen talam dua muka Russia, Sergei Skripal pada 2018.
Jumaat lalu, Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan dan mengusir 10 diplomat Rusia susulan campur tangan Kremlin dalam pilihan raya presiden tahun lalu dan penggodaman agensi persekutuan. – AFP, 19 April, 2021.
Komen