Rakyat berhak tahu tentang Pulau Batu Puteh, kata Khaled Nordin


Naib Presiden Umno Khaled Nordin hari ini mempersoalkan mengapa kerajaan Pakatan Harapan tidak berusaha pertahan kedaulatan Pulau Batu Puteh sedangkan negara dan bangsa lain bermati-matian pertahankan walau seinci tanah air mereka. – Gambar AFP, 10 Oktober, 2021.

RAKYAT berhak tahu mengapa Pakatan Harapan (PH) tidak kemuka semakan keputusan berhubung Pulau Batu Puteh, kata Khaled Nordin.

“Bangsa lain bermatian untuk mempertahankan walau seinci tanah air mereka. Kerajaan Pakatan Harapan melepaskan segala usaha mempertahankan kedaulatan Pulau Batu Puteh tanpa sebarang penelitian dan pertanggungjawaban,” kata naib presiden Umno dalam satu kenyataan hari ini.

Khaled, yang mengulas mengenai pembentukan petugas khas bagi membuat kajian menyeluruh tentang Pulau Batu Puteh, berkata rakyat Malaysia patut tahu sebab dan adakah ada kecuaian pihak perdana menteri terdahulu Dr Mahathir Mohamad.

Semalam Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan jawatankuasa khas itu akan diketuai oleh bekas Peguam Negara Mohamed Apandi Ali.

“Kenapa Kerajaan PH memutuskan untuk tidak meneruskan prosiding semakan di ICJ tidak pernah dijelaskan. Keputusan sepenting itu sewajarnya diterangkan di Parlimen secara telus dan bertanggungjawab,” kata ketua Umno Johor.

Pada 9 Mei 2003, Malaysia dan Singapura bersetuju mengemukakan pertikaian mengenai kedaulatan Pulau Batu Puteh (Pedra Branca), dan dua ciri maritim berdekatan, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh manakala Malaysia memiliki Batuan Tengah manakala Tubir Selatan menjadi hak milik kerajaan yang meguasai perairan berdekatannya.

Pada Julai 2017, Malaysia turut mengajukan permohonan berasingan yang meminta ICJ menafsirkan penghakiman 2008 mengenai pertikaian kedaulatan Pulau Batu Puteh antara Malaysia dan Singapura.

Namun tidak lama selepas PH memenangi Pilihan Raya Umum 2018, Dr Mahathir mengumumkan Malaysia akan terima keputusan ICJ dan tidak akan menuntut tafsiran keputusan 2008. – 10 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen