TYT Melaka patut jumpa pembangkang sebelum bubar DUN, kata PH


Ragananthini Vethasalam

Majlis Presiden Pakatan Harapan hari ini berkata Yang di-Pertua Negeri Melaka Mohd Ali Rustam perlu berbincang dengan wakil rakyat pembangkang terlebih dahulu sebelum membubarkan Dewan Undangan Negeri atas nasihat ketua menteri yang hilang majoriti. – Gambar Facebook, 6 Oktober, 2021.

YANG di-Pertua Negeri Melaka Mohd Ali Rustam sepatutnya berjumpa dengan wakil rakyat pembangkang sebelum bubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) atas nasihat ketua menteri, kata Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

Ini kerana pembangkang negeri itu menguasai 15 kerusi daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), oleh itu Mohd Ali sewajarnya bertemu dengan mereka terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan, kata majlis presiden PH.

Majlis itu menyatakan Mohd Ali telah membubarkan DUN berdasarkan nasihat yang salah dari seorang Ketua Menteri yang telah hilang sokongan majoriti. 

“Apabila empat Adun menarik sokongan terhadap beliau (Sulaiman) pada Isnin lalu, berdasarkan Perlembagaan Negeri Melaka, ketua menteri tersebut telah hilang jawatan dan kelayakan untuk menasihati TYT,” kata majlis itu dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Isnin, empat Adun Melaka mengumumkan menarik sokongan kepada kerajaan negeri pimpinan Sulaiman.

Empat Adun itu ialah bekas ketua menteri Idris Haron (Sg Udang), Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) dan Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu).

PH, sebaliknya, mempunyai 11 Adun daripada 28 kerusi DUN Melaka.

“Malangnya tindakan TYT ini bukan sahaja telah melanggari duluan (precedent) bagi Melaka itu sendiri di mana pada 2020 nasihat ketua menteri ketika itu (Adly Zahari) untuk membubarkan DUN tidak diterima setelah hilang majoriti, malah ianya juga tidak selari dengan duluan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nizar Jamaluddin lawan Zambry Abdul Kadir di mana sokongan majoriti boleh ditentukan di luar DUN,” tambah kenyataan itu.

PH turut meluahkan kekesalan pembubaran itu membuka jalan kepada pilihan raya negeri yang boleh membahayakan nyawa rakyat memandangkan pandemik Covid-19 masih belum dikekang sepenuhnya. 

Kenyataan Majlis Presiden PH itu ditandatangani oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) Wilfred Madius Tangau.

Semalam Speaker DUN Melaka Abd Rauf Yusoh mengumumkan Mohd Ali telah bersetuju untuk membubarkan DUN negeri itu berdasarkan nasihat Sulaiman.

Pilihan raya negeri perlu diadakan dalam 60 hari selepas DUN dibubarkan.

Semalam, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menimbulkan idea keadaan darurat di Melaka seperti yang dikenakan pada Sarawak, kerana bahaya untuk mengadakan pilihan raya negeri (PRN) baharu berikutan pandemik Covid-19. – 6 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen