Bahaya PRN sekarang, lebih selamat Melaka darurat, kata Zahid


Ragananthini Vethasalam

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi hari ini menimbulkan idea supaya keadaan darurat dilaksanakan di Melaka bagi menangguhkan pilihan raya negeri berikutan pandemik Covid-19 yang masih menular. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Oktober, 2021.

PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi hari ini menimbulkan idea keadaan darurat di Melaka kerana bahaya untuk mengadakan pilihan raya negeri (PRN) baharu berikutan pandemik Covid-19.

“Amat bahaya untuk diadakan PRN dalam tempoh 60 hari sebagai mana yang ditentukan dalam akta pilihan raya. 

“Maka tentulah panduan, sebagaimana yang berlaku di Sarawak, mungkin boleh diikuti,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Melaka hari ini mencatatkan 246 kes baharu Covid-19.

Pada 31 Julai lepas, Yang di-Pertuan Agong mengisytihar perintah darurat enam bulan berkuatkuasa ke atas seluruh Sarawak bermula 2 Ogos hingga 2 Februari 2022 depan bagi mengelak pilihan raya negeri berlangsung, selain mengekang penularan Covid-19.

Justeru, Zahid berkata penjagaan kesihatan dan mendepani masalah pandemik Covid-19 perlu diutamakan.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka telah dibubarkan hari ini selepas empat Adun diketuai bekas ketua menteri Idris Haron (Barisan Nasional-Sg Udang) menarik balik sokongan mereka kepada Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.

Selain Idris, tiga lagi Adun ialah Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Berikutan penarikan sokongan itu, Sulaiman kini disokong oleh 12 Adun (11 BN, satu Bersatu) sementara pembangkang mempunyai 15 Adun (11 Pakatan Harapan, dua BN, satu Bersatu dan satu Bebas).

Dalam pada itu, Zahid berkata masih terlalu awal untuk memuktamadkan calon-calon BN dan Umno yang akan diketengahkan, jika PRN diadakan. 

“Namun pegangan saya, muka-muka baharu yang bagi harapan baharu dan juga menggamit kepercayaan pengundi-pengundi harus diketengahkan untuk memperlihatkan keberlainan pendekataan yang dibuat di dalam PRN Melaka kali ini,” katanya. – 5 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen