Mengapa kita pilih reformasi


Wan Hamidi Hamid

REFORMASI bererti memperbaiki keadaan di dalam sistem yang ada hari ini. Ia merangkumi usaha secara aman meminda atau menggubal undang-undang yang lebih adil dan saksama, amalan demokrasi yang lebih telus dan tidak berat sebelah serta dasar-dasar yang menjaga kepentingan semua kaum, gender, agama dan wilayah.

Kesemua usaha ini dilaksanakan demi kebaikan rakyat.

Ia berbeza dengan revolusi yang mahu menghapuskan kerajaan yang ada hari ini dengan tujuan untuk membina satu sistem baru. Ia mahu membawa perubahan serta-merta. Walaupun niatnya sama dengan reformasi, iaitu demi kebaikan rakyat, sejarah menunjukkan bahawa kebanyakan revolusi melibatkan persenjataan, keganasan dan pertumpahan darah.

Setidak-tidaknya itulah definisi untuk reformasi dan revolusi yang difahami umum tanpa membedahnya secara mendalam.

Kerajaan Malaysia sejak zaman Malaya merdeka tidak membenarkan amalan demokrasi bebas dan telus. Ia tidak mengamalkan demokrasi yang diamalkan di negara asal penjajahnya, iaitu Britain, tetapi mewarisi undang-undang, pentadbiran serta amalan sistem penjajah sahaja.

Kerana itu kerajaan Perikatan Malaya selepas 1957 (dan diluaskan ke Sabah dan Sarawak – dan Singapura, selepas pembentukan Malaysia pada 1963) terus mengekang kebebasan akhbar, menguatkuasakan undang-undang penahanan tanpa bicara, dan mengamalkan sistem pecah dan perintah melalui pengasingan kaum dalam bidang ekonomi.

Jalan reformasi

Namun, sejak merdeka juga, sudah ada usaha beberapa pihak yang mahu merapatkan hubungan antara kaum, terutamanya melalui gabungan politik. Dalam hal ini, jalan yang dipilih adalah melalui reformasi.

Usaha revolusi Parti Komunis Malaya tidak mendapat sambutan. Ia berikutan kekangan keras oleh penjajah British yang kemudiannya diteruskan oleh kerajaan Perikatan Umno, MCA dan MIC yang dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman. Propaganda dalaman melalui pelbagai cara termasuk sistem pendidikan dan agama juga mengajar rakyat agar membenci komunisme. Malah, sosialisme yang demokratik juga sengaja dimomokkan agar ditolak oleh rakyat.

Dengan itu jalan keluar untuk memperbaiki pemerintahan Perikatan, yang masih dipenuhi dengan pegawai tinggi British dalam hal-hal pertahanan, ekonomi dan pentadbiran sepanjang 1960-an, beberapa parti pembangkang mengambil jalan reformasi.

Sehingga hari ini semua parti di Malaysia kekal dengan usaha reformasi. Jika ada pun suara-suara revolusi, ia hanya kesinambungan sembang kedai kopi sejak zaman merdeka kepada era media sosial hari ini. Ia tidak mendapat tempat dalam ruang awam yang sebenar. Ini merupakan gambaran masyarakat Malaysia yang konservatif dan pragmatik.

Reformasi menawarkan jalan keluar melalui pilihan raya. Walaupun sejak 1955 pilihan raya umum diadakan di negara ini (termasuk pilihan raya tempatan yang kemudiannya digantung oleh kerajaan Perikatan dan diharamkan oleh kerajaan Barisan Nasional), hanya Perikatan-BN yang menang secara berterusan. Hanya sesekali pembangkang menguasai satu atau dua kerajaan negeri.

Selepas alaf baru, lahir segolongan orang yang kecewa dengan pilihan raya – yang semakin tidak adil dan berat sebelah yang menjamin kemenangan BN – kerana pembangkang hampir pasti kalah setiap kali PRU. Mereka mula merasakan pilihan raya tidak mengubah apa-apa. Perasaan ini kerap timbul di kalangan sesetengah anak muda.

Namun, ramai yang tidak sedar bahawa reformasi merupakan kaedah yang memerlukan masa untuk membawa perubahan. Di kala ada orang tidak sabar dengan proses evolusi politik seperti ini, pihak BN sedar bahawa ia perlu menghancurkan sebarang pengaruh reformasi kerana ia mencabar kuasa mutlak pemerintah.

Apa yang telah berjaya diubah melalui reformasi atau proses evolusi politik itu sehingga menyebabkan BN mahu membasminya semampu yang boleh?

Gabungan pembangkang

Pada 1990, lahir gabungan pembangkang yang pertama sejak 1960-an. Sebelum itu BN menang mudah dalam semua PRU kerana tiada cabaran daripada pembangkang yang berpecah-belah, malah curiga antara satu sama lain.

Walaupun PRU1990 menyaksikan pembangkang yang belum benar-benar bersatu – kerana wujud dua gabungan yang diterajui satu parti yang sama – ia membuka jalan awal ke arah kerjasama politik. Semangat 46 mengetuai Gagasan Rakyat yang merupakan gabungan parti-parti pelbagai kaum, dan Angkatan Perpaduan Ummah yang menggabungkan parti-parti Melayu Islam.

Usaha itu gagal tetapi ia telah membuka ruang yang selama ini tidak berani dibincangkan. Pada PRU1999 akhirnya wujud satu gabungan Barisan Alternatif. Ia menggabungkan parti-parti yang berbeza ideologi untuk duduk bersama demi reformasi. Namun, ia tetap gagal menumbangkan BN yang dipimpin oleh Dr Mahathir Mohamad.

Dalam tempoh satu dekad tersebut, senjata ampuh BN adalah politik kaum dan perkauman. Ia memomokkan pembangkang tentang siapa yang akan memegang kuasa jika berjaya membentuk kerajaan.

Pada 1990, dua gabungan pembangkang gagal meyakinkan pengundi. Pada PRU1999, apabila pengundi Melayu sedia mengubah kerajaan, pengundi bukan-Melayu bimbang dengan kebangkitan orang Melayu. Apatah lagi propaganda BN melalui media massa menyiarkan tanpa henti imej dan visual serangan terhadap kaum Cina di Indonesia sewaktu Reformasi di republik tersebut pada 1998.

Apabila rakyat bangkit

Hanya sedekad selepas itu pada PRU2008, rakyat yang marah dengan BN di bawah pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi kerana gagal melaksanakan janji- janji reformasinya telah membawa gelombang tsunami politik yang pertama di Malaysia. Kerajaan BN menang tipis apabila ia gagal mengekalkan majoriti dua pertiga di Parlimen serta tewas di lima negeri.

Apabila tersentak dengan prestasi buruk itu, BN di bawah pentadbiran Najib Razak memilih untuk meneruskan politik perkauman untuk menyerang pembangkang yang bergabung atas nama Pakatan Rakyat. Namun PRU2013 mencatatkan sejarah apabila majoriti pengundi memilih parti yang bergabung untuk membentuk kerajaan baru, dan bukan lagi parti yang menjadi kesukaan kaum masing-masing.

Ia bererti majoriti pengundi bandar dan pinggir bandar, khususnya kaum Cina, mengundi PAS tanpa rasa was-was. Walaupun belum ramai pengundi Melayu sanggup memilih DAP, banyak pengundi dan penyokong PAS telah menyokong DAP. Lahirlah Pakatan Rakyat selepas PRU2013. Tsunami politik pengundi bandar itu juga telah mengejutkan BN daripada tidur mereka.

Dengan itu, kempen perkauman dan keagamaan sempit mula dimainkan pasca PRU2013. Ia terbukti berjaya apabila pimpinan ulamak dalam PAS terpengaruh dengan dakyah Umno tentang hal-hal Melayu dan Islam.

Berlaku “pembersihan” dalam PAS di mana semua pemimpin yang dianggap progresif ditumbangkan. Pimpinan ulamak kini begitu intim dengan Najib dan Umno. Malah pimpinan PAS kini kerap mempertahankan pentadbiran Najib yang terpalit dengan pelbagai skandal kewangan, termasuk 1MDB dan Felda yang memangsakan orang Melayu sendiri.

Namun, walaupun Pakatan Rakyat sudah tiada, ia kini digantikan dengan Pakatan Harapan yang diwakili pula oleh Bersatu pimpinan Dr Mahathir. Ia membuka lembaran baru kerana “masalah undi Melayu” untuk barisan pembangkang akhirnya bakal diatasi dengan kehadiran Dr Mahathir bersama bekas para pemimpin Umno,

Sudah tentu kehadiran Dr Mahathir sukar diterima oleh aktivis reformasi 1998 walaupun idola mereka Anwar Ibrahim sendiri rela dengan penyertaan bekas perdana menteri itu. Pragmatisme pengundi Malaysia menjadi harapan untuk Pakatan Harapan mencipta kejutan dalam PRU14 nanti.

Hasil reformasi melalui PRU

Kembali kepada persoalan apa yang sebenarnya berjaya dibawa oleh reformasi melalui PRU, jawapannya terpampang di depan mata. Pada PRU2008 dan 2013, buat kali pertama pengundi Melayu dan bukan-Melayu saling mengundi parti- parti yang sebelum ini tidak boleh duduk semeja, sembang semuka.

Juga buat kali pertama, pengundi Melayu berdepan, bercakap, berinteraksi dengan pemimpin serta akar umbi DAP yang selama ini dimomokkan sebagai orang jahat atau pengkhianat negara; dan mendapati mereka senasib sebagai rakyat Malaysia yang sama-sama menderita akibat salah tadbir, salah guna kuasa, penyelewengan dan diskriminasi Umno-BN.

Malah buat kali pertama, pengundi bukan-Melayu, khususnya kaum Cina, sedar bahawa akar umbi PAS juga manusia biasa seperti mereka; bukan Taliban, bukan IS. Sedar atau tidak, rakyat Malaysia pelbagai kaum ini sama-sama mengenali dan mempelajari adat budaya yang selama ini dipisahkan oleh pentadbiran BN.

Kerana itulah reformasi melalui PRU, dan apabila mentadbir sebagai kerajaan nanti, akan memerlukan masa. Perubahan positif hanya boleh dilaksanakan melalui proses evolusi politik yang memakan masa. Sebarang perubahan mengejut akan memeranjatkan rakyat, malah boleh memberi kesan sebaliknya.

Reformasi untuk memulihkan kelemahan demokrasi Malaysia perlu mendapat sokongan rakyat melalui PRU. Yang penting adalah menubuhkan sebuah kerajaan baru menggantikan BN. Kemudian bermulalah proses reformasi. Ia memerlukan penyertaan semua pihak, khususnya pengundi, bagi memastikan perubahan dapat dilaksanakan.

Jika tidak, BN yang kita kenali sejak zaman Perikatan lebih separuh abad yang lalu akan kekal memisahkan kita mengikut kaum dan agama, serta melahirkan sikap curiga serta benci antara satu sama lain, kerana ia terbukti senjata ampuhnya untuk mengekalkan kuasa.

Senjata kita sebagai rakyat pula adalah sentiasa berpegang kepada semangat reformasi serta mengambil sikap tak kenal maka tak cinta, bila kenal mula mesra, menjadi sahabat seia sekata. – 26 Januari, 2018.

* Wan Hamidi Hamid merupakan wartawan veteran yang mempunyai minat mendalam terhadap muzik rock.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen