Kanak-kanak B40 berisiko jadi ‘generasi tersisih’, kata kajian


Aminah Farid

Kanak-kanak dalam kumpulan B40 sedang mengalami paras kemiskinan makanan dan nutrisi yang ekstrem serta berdepan risiko menjadi generasi tersisih, menurut kaji selidik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Oktober, 2021.

SATU kajian menunjukkan kanak-kanak dalam kumpulan B40 sedang mengalami paras kemiskinan makanan dan nutrisi yang ekstrem serta berdepan risiko menjadi “generasi tersisih”.

Kaji selidik membabitkan 332 isi rumah di Permatang Pauh, Pulau Pinang dijalankan Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar dengan bantuan pakar kemiskinan dan bekas pensyarah ekonomi Universiti Malaya Prof Fatimah Kari.

Nurul Izzah berkata pelajar dalam kumpulan ini juga jauh ketinggalan dalam pembelajaran kerana kekurangan akses sempurna kepada pembelajaran atas talian, dan mereka amat memerlukan akses Internet.

Katanya, 23,910 pelajar di Permatang Pauh kini terpaksa menunggu projek optik fibre dalam Rancangan Malaysia ke-12, yang dikatakan akan memberi capaian sambungan Internet lebih pantas.

“Ia satu pelaburan yang mahal dan memerlukan masa panjang,” kata Nurul Izzah dalam satu kenyataan, menambah R3 bilion dibazirkan dalam program Bestarinet yang tidak membuahkan hasil.

“Setakat ini, ribuan sekolah masih menunggu sambungan Internet yang baik.

“Malaysia pada masa ini berdepan tragedi kemiskinan teruk membabitkan kanak-kanak pasca Covid-19. Ini memberi kesan berganda kepada pendidikan mereka, kemampuan sosial dan prospek masa depan, di mana ia akan jadi lebih teruk berbanding zaman ibu bapa mereka.”

Nurul Izzah berkata kajian itu dijalankan untuk mengenal pasti dengan tepat kesukaran dihadapi keluarga di peringkat akar umbi bagi membolehkan bantuan bersasar dan lebih berkesan dapat diagihkan.

Beliau berkata dapatan kajian itu menyimpulkan amat perlu untuk memperuntukkan tambahan RM256 per kapita bagi memenuhi keperluan nutrisi kanak-kanak B40 di Permatang Pauh.

Nurul Izzah mencadangkan kerajaan membiayai lebih banyak projek mega yang “terkawal” dengan melaksanakan teknologi lebih efektif kos dan mudah dilaksanakan, misalnya ialah teknologi TV White Space, yang menggunakan sepenuhnya spectrum atau saluran televisyen tidak digunakan.

“Malangnya di Malaysia teknologi ini dilihat sebagai ancaman kepada syarikat telekomunikasi tempatan yang mahu memperluaskan rangkaian kabel dan fibre mereka,” katanya.

“Apa yang kita perlukan sekarang ialah kerajaan meluluskan undang-undang yang relevan.” – 6 Oktober, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen