Luluskan undang-undang anti lompat parti sebelum pilihan raya Melaka, kata ahli Parlimen


Raevathi Supramaniam

Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong berkata ia bagi mengelakkan perkara yang sama daripada berulang.– Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Oktober, 2021.

KEJATUHAN kerajaan negeri Melaka menunjukkan keperluan untuk akta anti lompat parti diluluskan segera pada persidangan Parlimen akan datang, kata Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong. 

Menurutnya tanpa undang-undang itu, pilihan raya yang bakal berlangsung hanya akan membawa kepada lebih banyak lompatan parti. 

“Akta anti-lompat parti ini harus diluluskan di sidang Parlimen yang akan datang, sebagaimana yang telah dipersetujui di dalam MoU Transformasi dan Kestabilan Politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

“Tindakan melompat parti menyebabkan orang ramai hilang percaya terhadap sistem politik negara. Tindakan sedemikian menyampaikan mesej yang salah kepada jutaan pengundi muda yang akan mengundi untuk kali pertama dalam pilihan raya yang akan datang.”
 
MoU transformasi dan kestabilan politik ditandatangani Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bersama Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Di bawah perjanjian itu, kerajaan bersetuju untuk membuat tiga pembaharuan utama menjelang pertengahan tahun depan, sebelum sidang Parlimen berikutnya. 

Pembaharuan itu adalah pelaksanaan undang-undang anti lompat parti, Undi 18 dan pendaftaran pengundi automatik dan mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun.

Isnin lalu, empat Adun mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Ketua Menteri Sulaiman Md Ali dan menarik balik sokongan mereka. 

Mereka adalah bekas ketua menteri Melaka Idris Haron (Sg Udang), Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) dan Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu).

Susulan penarikan sokongan itu, Sulaiman kini disokong 12 Adun (seorang dari Bersatu dan yang lian Barisan Nasional) manakala pembangkang mempunyai 15 (11 daripada Pakatan Harapan, dua daripada BN dan satu daripada Bersatu dan Bebas). 

Yang Di-Pertua Negeri Melaka Mohd Ali Rustam membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN), susulan permintaan Sulaiman. 

Pilihan rfaya negeri perlu diadakan dalam tempoh 60 hari berikutnya. DUN Melaka mempunyai 28 kerusi. 

Khoo berkata beliau tidak akan bersekongkol dengan empat Adun berkenaan dan tidak menyokong salah seorang daripada mereka menjadi ketua menteri serta menggesa rakan seperjuangan dan pemimpin parti untuk mengambil pendekatan yang sama. 

“Saya ingin menyatakan bahawa saya sama sekali tidak bersetuju dengan sebarang bentuk tindakan melompat parti oleh mana-mana wakil rakyat, sama ada secara langsung atau tidak langsung, demi kepentingan politik sendiri. Tindakan melompat parti tidak harus diterima oleh mana-mana pihak.” – 6 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen