Kemelut di Melaka urusan Zahid, kata PM


Elill Easwaran

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hadir pada Hari Kesiapsiagaan Malaysia di Kompleks Perbadanan Putrajaya di Putrajaya hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 5 Oktober, 2021.

KEMELUT politik di Melaka adalah urusan Umno dan akan ditangani oleh Presiden Ahmad Zahid Hamidi, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri berkata beliau menerima banyak pandangan dan pertanyaan pelbagai pihak yang bimbang akan kemungkinan pilihan raya negeri diadakan selepas empat wakil rakyat menarik balik sokongan kepada Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.

Dua daripada wakil rakyat itu ahli Umno iaitu bekas ketua menteri Idris Harun (Tangga Batu) dan Nor Azman Hassan (Pantai Kundor).

“Banyak rakyat hantar mesej kepada saya mengatakan mereka bimbang apa yang berlaku di Sabah akan berulang,” katanya, merujuk pilihan raya negeri pada September 2020 yang mencetuskan gelombang baharu jangkitan Covid-19.

“Tetapi ini urusan parti dan ia akan diputuskan oleh presiden parti… bukan saya,” katanya kepada pemberita selepas satu majlis di Putrajaya, pagi ini.

Menurut Ismail Sabri, sekiranya pilihan raya negeri perlu diadakan di Melaka, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan melaksanakannya dengan peraturan pencegahan jangkitan penyakit yang ketat.

Beliau yang juga naib presiden Umno juga berharap semua pihak bertenang, ketika ada persefahaman untuk kestabilan politik antara kerajaan persekutuan dan Pakatan Harapan.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight perkembangan di Melaka berpunca daripada pergolakan dalaman Umno.

Semalam, Zahid mencadangkan pilihan raya negeri Melaka untuk rakyat memilih kerajaan yang baharu selepas Sulaiman didakwa hilang majoriti untuk kekal menerajui kerajaan negeri.

Beliau mencadangkan begitu susulan tindakan Idris dan Nor Azman bersama Adun Bebas Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) dan Adun Bersatu Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) menarik balik sokongan mereka kepada Sulaiman.

Berikutan perkembangan semalam, Sulaiman mendapat sokongan 13 Adun (12 Umno dan seorang Bersatu), sementara 15 Adun lagi berada dalam blok pembangkang (11 PH dan empat yang tarik sokongan).

“Saya tidak mengapa kehilangan kerajaan negeri yang dikuasai parti saya tetapi tunggulah saya rasa elok (juga) ada pilihan raya negeri yang baharu.

“Ia supaya DUN Melaka dibubar dan kita beri mandat semula kepada rakyat (dan) untuk rakyat pilih mana kerajaan terbaik bagi tadbir negeri dan negara kita,” katanya, semasa berucap di Dewan Rakyat semalam.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka Ab Rauf Yusoh semalam menegaskan pihaknya bersiap sedia untuk menghadapi apa saja kemungkinan termasuk pilihan raya negeri.

Tidak lama selepas sidang media Rauf petang semalam, sepucuk surat Barisan Nasional negeri tersebar mengarahkan jentera pilihan raya di enam kawasan Parlimen di Melaka supaya bersiap sedia.

Surat dikeluarkan oleh Timbalan Pengarah Pilihan Raya II BN Melaka Hasnoor Husin.

Rauf juga semalam mengumumkan Idris dan Nor Azman gugur keahlian Umno selepas tidak menyokong kerajaan negeri yang diterajui oleh parti. – 5 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen