Idris, Nor Azman bukan lagi ahli Umno, kata Rauf


Ragananthini Vethasalam

Ketua Umno Melaka Abd Rauf Yusof berkata sekarang ini bergantung kepada Yang di-Pertua Melaka Mohd Ali Rustam bagi memutuskan sama ada untuk memprorog atau membubarkan Dewan Undangan Negeri berikutan penarikan sokongan empat Adun hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2021.

KEAHLIAN Idris Haron dan Nor Azman Hassan dalam Umno gugur secara automatik selepas terlibat dalam gerakan menjatuhkan kerajaan Melaka, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka Ab Rauf Yusoh.

Ia susulan tindakan Idris selaku Adun Sungai Udang dan Nor Azman sebagai Adun Pantai Kundor menarik balik sokongan mereka kepada kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Sulaiman Md Ali, katanya.

“Apabila dinyatakan dalam sidang media secara terbuka mereka bersama dengan parti tidak membentuk kerajaan dan meruntuhkan kerajaan, maka secara automatik akan tergugur haknya sebagai ahli Umno,” katanya dalam sidang media petang tadi.

Sulaiman duduk di samping Rauf semasa sidang media itu.

Awal hari ini, Idris yang juga bekas ketua menteri Melaka bersama Nor Azman dan dua lagi Adun iaitu Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu-Bebas) dan Noor Effandi Ahmad (Telok Mas-Bersatu) mengumumkan mereka menarik balik sokongan kepada Sulaiman sebagai ketua menteri.

Mereka mendakwa Sulaiman kini hilang majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dan kerajaan pimpinannya sudah jatuh.

Berikutan perkembangan hari ini, Sulaiman mendapat sokongan 13 Adun (12 Umno dan seorang Bersatu), sementara 15 Adun lagi berada dalam blok pembangkang (11 PH dan empat yang tarik sokongan). 

Serah kepada TYT

Sementara itu, Rauf yang juga Speaker DUN Melaka berkata Umno menyerahkan isu keabsahan kerajaan kepada  kebijaksanaan Yang DiPertua Negeri Melaka Mohd Ali Rustam sama ada untuk memprorog atau membubarkan DUN.

“Apa juga yang berlaku kita akan setia bersama untuk mempertahankan kerajaan ini.

“Kemelut ini harus dilihat sebagai satu cabaran baru kepada dunia politik di Melaka dan peringkat negara amnya,” katanya, merujuk persefahaman antara kerajaan persekutuan dan Pakatan Harapan yang dimeterai pada 13 Ogos.

“Mereka tidak mempedulikan hakikat yang tersirat dalam memorandum itu dan memberikan tekanan kepada kerajaan negeri untuk meruntuhkan kerajaan negeri yang kita bina selama 19 bulan,” tambahnya.

Rauf berkata Idris dan dua Adun yang memegang jawatan exco dalam kerajaan negeri sepatutnya menyuarakan rasa tidak puas hati mereka dalam mesyuarat dan bukannya membawa masalah ke tengah orang ramai.

“Tak setuju cakap dalam mesyuarat. Kenapa perlu dibawa ke luar mesyuarat untuk diterjemahkan (rasa) tidak puas hati ini?

“Kita hidup dalam organisasi ada ketua. Sepatutnya ketua itu dimaklumkan terlebih dahulu sebelum dimaklumkan kepada orang luar,” katanya.

Rauf juga menyifatkan mereka sebagai “duri dalam daging” kepada kerajaan negeri yang diterajui oleh Umno.

Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali berkata beliau tidak bersengketa dengan empat Adun yang menarik balik sokongan mereka kepadanya. – Gambar Facebook, 4 Oktober, 2021.

Siap sedia pilihan raya

Dalam pada itu, Rauf juga menegaskan Umno Melaka siap sedia untuk mengharungi pilihan raya negeri sekiranya Yang Di-Pertua Negeri bersetuju untuk membubarkan DUN.

“Saya diasuh dalam suasana politik, sejak jadi setiausaha kerja Umno Malaysia… saya diasuh bersedia 24 jam menghadapi 1,001 kemungkinan,” katanya, sambil meminta semua pihak “tunggu dan lihat.”

Sementara itu, Sulaiman menjelaskan beliau tidak bersengketa dengan empat Adun yang menarik balik sokongan mereka kepadanya.

Tiga daripada yang juga exco pun tidak pernah membangkitkan apa-apa bantahan dalam mesyuarat, katanya.

“Hubungan saya dengan mereka amat baik. Apa yang diminta, apa yang dipohon saya laksanakan sebaik mungkin.

“Apabila mengatakan kerajaan sekarang ini sebaliknya, maka tak tahu apa hendak cakap,” katanya.

Melaka ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH) selepas pilihan raya umum 2018. Kerajaan itu bagaimanapun tumbang pada Mac 2020 apabila dua Adun PH keluar parti dan menyokong Perikatan Nasional.  

Seorang daripadanya ialah Norhizam yang keluar DAP untuk jadi wakil rakyat Bebas, dan hari ini sekali lagi menarik sokongan kepada ketua menteri. – 4 Oktober, 2021.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen