Pakatan, 4 Adun mohon menghadap TYT Melaka, kata Adly


Ragananthini Vethasalam

PH Melaka berkata Sulaiman Md Ali perlu meletak jawatan sebagai ketua menteri Melaka susulan tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti Adun untuk terus mentadbir negeri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2021.

WAKIL rakyat Pakatan Harapan (PH) Melaka memohon menghadap Yang Dipertua Negeri Mohd Ali Mohd Rustam selepas empat Adun umum menarik sokongan kepada Ketua Menteri Sulaiman Md Ali, kata pengerusinya Adly Zahari.

Beliau yang juga Adun Bukit Katil berkata surat untuk memohon menghadap akan diserah kepada pejabat Yang Dipertua Negeri hari ini.

Adly itu berkata Sulaiman perlu meletak jawatan sebagai ketua menteri Melaka susulan tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti Adun untuk terus mentadbir negeri.

“Selaras dengan peruntukan Perkara  7(4) Perlembagaan Negeri Melaka, yang berbunyi jika ketua menteri tidak lagi mendapat kepercayaan sebilangan besar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), maka ketua menteri hendaklah meletakkan jawatan Majlis Mesyuarat melainkan jika ada permintaan Yang Di-Pertua Negeri mahu membubarkan DUN.

“Memandangkan kita masih lagi berhadapan dengan pandemik Covid-19 yang menjejaskan kesihatan dan ekonomi rakyat, keutamaan PH negeri pada masa ini adalah untuk memastikan kestabilan politik negeri ini bagi memastikan pentadbiran yang cekap, bertanggungjawab dan telus dalam merealisasikan demi kesejahteraan rakyat.

“Sehubungan dengan itu saya mewakili 11 Adun PH dan Idris Haron (Adun Sungai Udang) yang mewakili 4 Adun berhasrat mengadakan pertemuan dengan Yang Di-Pertua Negeri Melaka bagi membincangkan usaha yang boleh diambil bagi memastikan kestabilan politik negeri dan kesinambungan pentadbiran kerajaan dapat diteruskan,” katanya pada sidang media hari ini.

Terdahulu, Idris pada sidang media berasingan bersama tiga lagi Adun iaitu Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu-Bebas), Noor Effandi Ahmad (Telok Mas-Bersatu) dan Nor Azman Hassan (Pantai Kundor-Umno) umum menarik balik sokongan mereka kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan Sulaiman.

Susulan tindakan mereka, pentadbiran Sulaiman mempunyai 13 daripada 28 kerusi di DUN Melaka. 

Kerajaan Melaka kini terdiri daripada 12 Adun Barisan Nasional dan seorang Adun Bersatu, sementara 11 Adun pembangkang terdiri daripada 7 DAP, 2 PKR, dan 2 Amanah. – 4 Oktober, 2021.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen