SYARIKAT Tenaga Elektrik Xinjiang yang berperanan sebagai satu daripada pangkalan sumber tenaga komprehensif di Xinjiang, berjaya membantu beberapa wilayah mengatasi kekurangan bekalan elektrik.
Selain itu, syarikat berkenaan mampu meningkatkan bekalan tenaga elektrik sebanyak 22.4% untuk pasaran domestik melalui empat saluran, pada tiga suku pertama tahun ini, sekali gus menjadikan jumlah transmisi mencatat 93.5 bilion kilowatt-jam, rekod baharu dalam sejarah.
Syarikat itu memaklumkan tahun ini juga Xinjiang meningkatkan transmisi tenaga elektrik secara berterusan ke luar wilayah yang dilihat dapat menjamin kestabilan pembekalan elektrik di seluruh negara.
“Pada suku tahun ketiga, Xinjiang menambah 46 transaksi elektrik dengan wilayah lain, untuk mewujudkan peningkatan bekalan elektrik 13.9 bilion kilowatt-jam di kawasan bahagian timur dan tengah China.
“Pada September, disebabkan pembekalan elektrik yang dijana daripada arang batu berkurangan dan permintaan terhadap tenaga elektrik meningkat terdapat beberapa wilayah menghadapi masalah kekurangan bekalan elektrik,” menurut syarikat itu.
Sehubungan itu, Xinjiang turut meningkatkan penyelarasan dalam penghantaran tenaga elektrik dan menambah jumlah transaksi dalam pasaran domestik, bertujuan membantu memenuhi keperluan di kawasan terbabit.
Syarikat itu juga menjalankan analisis mengenai keseimbangan dalam pembekalan tenaga elektrik berdasarkan perubahan cuaca dan kapasiti pengeluaran.
“Kami turut bersama wilayah lain di kawasan barat laut saling menyokong dalam bidang pembekalan tenaga elektrik demi memastikan bekalan elektrik untuk kegunaan rakyat, industri dan jabatan terjamin,” menurut syarikat itu. – Bernama, 3 Oktober, 2021.
Komen