Penjelasan tentang ekuiti 51% Bumiputera dalam syarikat logistik


Raevathi Supramaniam

Di Malaysia, lesen penghantaran barang didaftarkan sebelum 1976 tidak perlu patuhi syarat ekuiti Bumiputera tersebut, tetapi syarikat didaftarkan antara 1976 dan 1990, kuota 30% dikenakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Oktober, 2021.

SYARAT supaya syarikat logistik tempatan perlu patuhi 51% ekuiti Bumiputera yang menjadi bualan hangat baru-baru ini sebenarnya bukanlah isu baharu.

Ia pertama kali dibangkitkan pada 2015 oleh Majlis Ekonomi Bumiputera di bawah pentadbiran Najib Razak.

Ketika itu, keputusan tersebut selaras dengan hasil kajian dijalankan oleh oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju).

Bagaimanapun, dasar tersebut ditangguhkan kerana desakan Persekutuan Penghantar Fret Malaysia (FMFF) pada 2015.

Berikutan itu, Kementerian Kewangan (MoF) pada 2016 memberi FMFF pengecualian dan oleh itu syarikat tempatan yang memperoleh status Perkhidmatan Logistik Bersepadu Antarabangsa (IILS), dikecualikan daripada syarat ini sehingga 31 Disember 2020.

Pada Disember 2020, MoF - kini di bawah kerajaan Perikatan Nasional - memutuskan tempoh untuk memenuhi syarat penyertaan Bumiputera ini dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021.

Di Malaysia, lesen penghantaran barang yang didaftarkan sebelum 1976 tidak perlu mengikuti syarat ekuiti Bumiputera tersebut, namun bagi syarikat yang didaftarkan antara 1976 dan 1990, kuota 30% dikenakan.

Bagi lesen yang didaftarkan selepas 1990 - tahun dasar ekuiti Bumiputera pertama kali dilaksanakan - perlu memenuhi syarat pegangan saham 51% Bumiputera.

Kenapa sekarang jadi masalah?

Dengan hanya beberapa bulan sahaja lagi sehingga tarikh akhir 31 Disember 2021, FMFF telah mengutus surat kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali, meminta penjelasan mengenai keputusan itu, yang dikatakan akan memburukkan syarikat logistik tempatan selain memberi kelebihan kepada syarikat milik asing.

Tarikh akhir yang akan datang, kata FMFF, bermaksud syarikat logistik bukan Bumiputera perlu jual 51% ekuiti dalam syarikat mereka, yang pada dasarnya menyerahkan kawalan perniagaan mereka.

Untuk jangka masa yang singkat, FMFF juga mempersoalkan adakah ada pelabur seperti itu yang bersedia beli kuota ini dari pemilik bukan Bumiputera, terutama ketika ekonomi terkesan dilanda pandemik Covid-19.

FMFF - yang mewakili lebih 1,500 syarikat logistik, berkata Bumiputera sudah menjalankan perniagaan logistik dan banyak syarikat logistik 100% dimiliki Bumiputera, dengan kerajaan sudah memberikan mereka insentif khas untuk terlibat dalam perkhidmatan logistik kepada kerajaan.

Semasa membentangkan Rancangan Malaysia ke-12 pada 29 September, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata pegangan saham Bumiputera dalam kekayaan negara berada pada 17.2% pada 2019, dengan 25% di tangan bukan Bumiputera dan 45.5% dipegang oleh warga luar.

Pengkritik membantah gesaan Ismail Sabri untuk meningkatkan kuota Bumiputera, berkata ia tidak mendorong semangat inklusif yang sejajar dengan visi Keluarga Malaysianya.

Ahli Parlimen menggesa pendekatan berbeza kerana dasar itu pertama kali diperkenalkan di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada 1971 untuk meningkatkan ekuiti Bumiputera hingga 30% yang kini telah gagal.

Mereka juga mengecam dasar ekuiti 51% Bumiputera dalam perniagaan logistik.

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempersoalkan kewajaran di sebalik dasar tersebut dan hakikat sebenar kuota 51% dalam syarikat logistik.

Katanya, dasar itu hanya akan menguntungkan golongan elit, bukannya nelayan atau petani selain meremehkan orang bukan Bumiputera hanya kerana mereka tidak dilahirkan sebagai Melayu atau Islam.

Sementara itu, ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming menambah dasar tersebut akan memberi kesan negatif terhadap pekerjaan, operasi pelabuhan, daya saing dan pelaburan.

Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke berkata dasar itu boleh membawa kepada amalan “Ali Baba” yang bertentangan dengan semangat Keluarga Malaysia.

Apa seterusnya?

Sejak kritikan dilontarkan terhadap dasar itu oleh pelbagai pihak selain seruan meminta ia dikaji semula, dan pada 28 September lepas MoF umum tempoh pengecualian untuk syarikat logistik patuhi syarat 51% dilanjutkan hingga Disember 2022.

Menteri Kewangan Tunku Zafrul Abdul Aziz berkata ini bagi membolehkan Teraju mengkaji penyertaan Bumiputera dalam sektor logistik.

Sebarang keputusan nanti, akan dibuat dengan mempertimbangkan kepentingan pelbagai pihak, katanya.

Penemuan Teraju juga akan dibentangkan ke kabinet sehingga halatuju dibuat mengenai penyertaan Bumiputera dalam sektor logistik bagi memastikan industri ini terus berkembang, tambahnya. – 2 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen