LANGSUNG: Perlis Hope dituduh sebar ajaran Syiah, kata saksi


Noel Achariam

Mohammad Faisol Abdul Rahman merupakan saksi ketiga siasatan awam Suhakam berhubung kehilangan aktivitis Amri Che Mat yang berlangsung di ibu pejabat suruhanjaya itu di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 25 Januari, 2018.

SIASATAN awam Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam) semalam diberitahu yang dua saksi melihat penculikan aktivis Amri Che Mat yang hilang pada November 2016.

Pengerusi PKR Perlis Faisol Abdul Rahman yang juga merupakan saksi ketiga dalam siasatan kehilangan Amri, diminta panel membantu mengesan dua saksi berkenaan.

Faisol akan menyambung memberi keterangan hari ini dan dijangka memberitahu panel sekiranya dua saksi itu bersedia muncul dan memberi keterangan.

Tidak seperti penculikan Pastor Raymond Koh yang dirakam video, tiada maklumat mengenai kehilangan Amri.

Ketika prosiding semalam, panel juga mendengar keterangan rakan rapat Amri, Abdul Jamil Ahmad yang aktivis itu kelihatan risau sehari sebelum dia dilaporkan hilang.

Jamil memberitahu panel yang Amri selalu menyuarakan kebimbangan ahli politik Umno tidak gembira dengan kerja-kerja kebajikan dilakukannya menerusi Perlis Hope.

Katanya, mereka tidak gembira dengan tindakan Amri membantu orang miskin kerana ia memberi gambaran mereka yang berkuasa di kawasan itu tidak berbuat apa-apa.

Jamil berkata ada penglibatan politik, tetapi tidak menamakan nama ahli politik terlibat.

Amri diculik 550m dari rumahnya di Padang Behor, Kangar.

Keretanya dijumpai polis di Bukit Chabang.

Lelaki berusia 43 tahun itu adalah sebahagian anggota pasukan ekspedisi Malaysia ke Gunung Everest pada 1997, dilaporkan memberitahu anak perempuan sulungnya yang dia akan keluar malam itu. Dia mempunyai empat anak perempuan berusia antara 10 hingga 19 tahun.

Dalam laporan polis yang dibuat isteri Amri, Norhayati Ariffin mengatakan terdapat kereta dan motorsikal tidak dikenali berada berhampiran rumah mereka pada hari aktivis itu hilang.

Siasatan itu dipengerusikan Pesuruhjaya Mah Weng Kwai, Aishah Bidin dan Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh.

Panel itu bertujuan menentukan sama ada penculikan Koh dan Amri serta dua orang lagi - Joshua dan Ruth Hilmy- pada 2016 adalah kes kehilangan paksa melibatkan pihak berkuasa negara ini.

The Malaysian Insight membawakan kepada anda lintas langsung prosiding hari ini.

4.35pm: Pegawai Suhakam bertanya Anwar jika Jabatan Mufti Perlis, Mufti Perlis Asri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Shahidan Kassim tidak menyukai Amri.

Anwar berkata dia tidak pasti tetapi ada kemungkinan (mereka terlibat).

“Mungkin mereka yang berpangkat tinggi seperti Shahidan dan Asri.”

Pegawai Suhakam bertanya Anwar apa reaksi Amri mengenai mereka yang mengutuk Perlis Hope.

Anwar berkata dia tidak pernah melakukan apa-apa dan tidak pernah berselisih faham dengan sesiapa.

Siasatan tamat dan akan disambung semula pada 12 Februari.

4.20pm: Pegawai Suhakam bertanya pendapat Anwar mengenai siasatan berhubung kes Amri.

Anwar berkata cara pihak polis menjalankan siasatan polis mencurigakan.

“Kes bermula di Perlis, kami diberitahu ia dipindahkan ke Bukit Aman.

“Tetapi, apabila kami ke sana, mereka kata tidak mempunyai kes itu. “

Anwar berkata mereka tidak melakukan sesuatu kerana polis tidak membuat sekatan jalan raya apabila Amri hilang.

“Ia juga tidak meletakkan gambar Amri di sempadan, tiada perlindungan polis untuk keluarganya apabila dia hilang.”

3.55pm: Siasatan Suhakam memanggil Anwar Ismail, saudara terdekat Amri untuk memberi keterangan.

Pemerhati Suhakam bertanya kepada Anwar bagaimana dia mengenali Amri.

Anwar berkata dia mengenali Amri sejak kecil dan rapat dengannya sekitar tujuh tahun lalu.

“Saya menyertai Perlis Hope sebagai sukarelawan dan sekarang saya setiausaha.”

Pemerhati Suhakam bertanya kepadanya jika dia mengesyaki sesiapa terlibat dalam kehilangan Amri.

Anwar berkata dia mengesyaki mereka yang mempunyai alasan politik atau peribadi.

“Amri membantu orang miskin di Arau dan tempat lain. Jadi, orang tidak berpuas hati dengan Perlis Hope.”

3.40pm: Polis kemudian bertanya kepada Yousri mengenai laporan polis yang dibuat dan sama ada ia benar.

Yousri berkata tidak benar kerana ada beberapa bahagian yang diberitahu kepada polis hilang dalam laporan itu.

Pemerhati polis kemudian bertanya apakah dia berbohong.

Yousri mengakui dia berbohong tetapi sekali lagi mengatakan terdapat beberapa bahagian laporan yang dibuat hilang.

Polis kemudian menjelaskan kepada panel laporan polis tidak boleh diubah.

“Sekiranya terdapat pindaan, satu laporan polis baru perlu dikemukakan dengan nombor siri baru.”

Pesuruhjaya Aishah kemudian bertanya Yousri sama ada dia letih hari itu kerana terpaksa berulang-alik ke balai polis.

“Anda bekerja sepanjang hari dan boleh jadi anda sudah letih apabila mereka mengambil kenyataan pada jam 4 pagi dan anda terlepas bahagian tertentu.

Yousri menjawab “ya”, ia mungkin itu yang berlaku.

3.30pm: Pemerhati polis bertanya Yousri mengenai kenderaan yang ditemui di sekolah terbengkalai.

Polis berkata Yousri memberitahu panel yang ketika dia pergi untuk memeriksa kereta, pelekat dan cukai jalan hilang.

Polis kemudian bertanya Yousri jika tidak pernah melihat kereta itu, bagaimana dia tahu pelekat dan cukai jalannya hilang.

Yousri tidak menjawab soalan itu.

Polis kemudian bertanya Yousri dalam kenyataan awalnya yang berkata selepas pikap berlalu, dia dan beberapa pengawal keselamatan pergi ke kereta itu.

“Tetapi anda memberitahu panel kemudian yang anda menunggu polis datang, barulah anda semua pergi ke kereta.”

Yousri kemudian berkata dia pergi ke kereta dengan polis.

Pemerhati polis kemudian bertanya jika dia mahu menukar kenyataannya dan dijawab “ya”.

3.10pm: Pemerhati polis bertanya Yousri tentang jarak dia berdiri ketika melihat pikap.

Yousri berkata ia kira-kira 20 meter daripada pikap.

Polis bertanya apa yang dilihat di dalam pikap itu.

Yousri berkata dia melihat pikap dua pintu dengan cermin tingkap di bahagian pemandu terbuka  dan beberapa orang merangkak di bahagian belakang kenderaan.

Polis bertanya jika dia ada lampu suluh.

Yousri berkata “ya”.

Polis kemudian bertanya warna kereta itu.

Yousri berkata kenderaan itu berwarna terang.

Polis kemudian bertanya sekiranya dia mempunyai lampu suluh dan hampir dengan kenderaan  itu, mengapa dia tidak dapat mengenal pasti warnanya.

Yousri berkata dia hanya tahu ia berwarna terang.

2.45pm: Mah bertanya berapa lama kereta di rumah pam itu.

Yousri berkata kereta itu berada selama lima minit sebelum ia keluar.

Pegawai Suhakam bertanya Yousri berapa lama dia bekerja di tapak projek.

Yousri berkata dia bekerja di sana selama dua tahun.

Pegawai Suhakam bertanya sama ada rumah pam berada di tapak projek di mana dia bekerja.

Yousri berkata ia tidak terletak di tapak projek tetapi di sekolah terbengkalai.

Pegawai Suhakam bertanya sama ada banyak kenderaan memasuki sekolah terbengkalai itu.

Yousri berkata dia hanya melihat kenderaan kementerian pendidikan memasuki tapak tersebut.

2.30pm: Mah bertanya kepada Yousri berapa buah kereta yang keluar dari tapak projek.

Yousri berkata dia hanya melihat satu kereta keluar dan hanya dapat melihat lampu.

Mah bertanya jarak antara Yousri dengan kereta yang keluar dari tapak projek.

Yousri berkata kereta itu berada pada jarak kira-kira 300 meter dari pondok pegawal keselamatan.

Mah kemudian bertanya apakah dia dapat melihat orang-orang di dalam kereta dari jarak itu.

Yousri menjawab dia melihat beberapa orang sedang tunduk di dalam kereta.

1.10pm: Peguam keluarga Amri kemudian bertanya Yousri apa yang dia lakukan selepas itu.

Yousri berkata dia menelefon polis pukul 12.35 pagi dan mereka tiba pada pukul 1 pagi.

“Saya kemudian ke balai polis Padang Besar dan membuat laporan.”

Yousri kemudian berkata pada pukul 3 pagi dua kereta polis datang.

“Tiga pegawai polis dan lima berpakaian biasa datang ke rumah pam.

“Saya tidak melihat apa yang mereka lakukan. Pada jam 4 pagi saya balik ke balai polis dan pegawai lain menyoal saya.

“Keesokan harinya saya kembali ke balai polis pada 12 tengahari dan bertemu pegawai penyiasat.”

Yousri berkata ia merupakan kali terakhir dia bertemu dengan pihak polis.

Siasatan awam berhenti untuk makan tengah hari.

12.45pm: Siasatan Suhakam memaparkan video tapak projek di sebelah sekolah Bukit Gambang yang terbengkalai di mana kereta Amri ditemui.

Saksi keempat seorang pengawal keselamatan di tapak projek Yousri Khalid diminta menunjukkan kepada panel di mana dia melihat lokasi kereta itu.

Yousri berkata pada kira-kira pukul 11.30 malam hingga 12 tengah malam pada 24 November, dia melihat trak pikap keluar dari tapak projek.

“Saya dan tiga pengawal keselamatan yang bekerja pada hari itu melihat lori itu keluar dari tapak projek dengan laju.

“Saya melihat tiga lelaki di dalam kereta dan ada yang menunduk.”

Yousri kemudian berkata dia dan pengawal keselamatan lain pergi ke rumah pam dan melihat Toyota Fortuner di sana.

“Tiga tingkap pecah. Cukai jalan sudah hilang dan plat nombor.

Peguam keluarga Amri kemudian bertanya sama ada dia melihat plat nombor yang kemudian dijawab suacana gelap dan tidak dapat melihatnya.

Peguam keluarga Amri kemudian menunjukkan Yousri gambar kereta Amri yang ditemui dan memintanya mengenal pasti kenderaan itu.

Yousri berkata ia kenderaan yang sama.

12.15pm: Pemerhati polis bertanya Faisol mengenai posting Dr Maza di Facebook yang dikendalikan oleh Mufti Perlis Asri.

Polis bertanya Faisol jika ia ada menyebut mengenai Syiah dalam posting Facebook itu.

Faisol berkata ia hanya menyatakan berwaspada terhadap Perlis Hope.

Polis bertanya sekali lagi adakah ia ada menyentuh mengenai Syiah.

Faisol berkata tidak. “Tapi pemikiran saya melihatnya seperti itu.”

12.10pm: Pemerhati polis bertanya Faisol jika dia tahu Amri diisytihar bankrap sejak Mac 2008.

“Anda berkata dia tidak mempunyai masalah kewangan?”

Faisol berkata kepadanya, Amri tidak kelihatan seperti mempunyai masalah kewangan.

Polis kemudian bertanya sama ada kakak Norhayati terlibat dalam kehilangan Amri.

Faisol berkata “tidak”.

11.50am: Pemerhati polis bertanya Faisol jika dia tahu polis sudah melakukan siasatan terhadap Amri sebelum dia hilang.

Faisol berkata dia tidak tahu.

Pemerhati polis bertanya Faisol mengapa dia dan Amri tidak tersenarai dalam nama orang di Perlis Hope sebagaimana terdapat dalam Pendaftar Pertubuhan.

Zainol berkata nama mereka tiada kerana mereka bertindak sebagai penyokong Perlis Hope.

“Kami seperti penasihat Perlis Hope.”

11.30am: Pemerhati polis bertanya Faisol jika dia tahu terdapat sebarang penyiasatan terhadap Amri sebelum dia hilang.

Faisol berkata tidak mengetahui sebarang siasatan.

Pemerhati polis bertanya apakah yang difikirkan Faisol mengenai pertemuan dengan mufti Perlis dan Amri selepas serbuan itu.

Faisol berkata Amri dipanggil kerana mereka menyangka Perlis Hope adalah ibu pejabat Syiah.

“Dalam fikiran saya mesyuarat itu mengenai Perlis Hope dan Syiah.”

Pemerhati polis kemudian bertanya sama ada pertemuan itu hanya sekadar berbincang.

Faisol berkata ia hanya berbincang.

10.45am: Peguam keluarga Amri bertanya Faisol apa yang berlaku sebelum dia pergi ke Bukit Aman.

Faisol berkata dia mendapat mesej daripada aplikasi WhatsApp rakannya Anwar yang menyatakan kes itu dipindahkan ke Bukit Aman.

“Anwar mengambil rakam layar perbualan antara dia dan Inspektor Khor.

“Anwar bertanya tentang status Amri dan Inspektor Khor menjawab dia diminta untuk menghentikan siasatan dan menyerahkannya kepada Bukit Aman.”

Pegawai Suhakam bertanya Faisol adakah Amri berasa menjadi sasaran setahun sebelum dia hilang.

Faisol berkata Amri memberitahu dia menjadi sasaran selepas serbuan Jabatan Mufti Perlis.

“Dia juga bimbang mengenai posting mufti Perlis di Facebook yang dia bertemu dengan Awaludddin Jadid dari Bukit Aman berhubung Perlis Hope.

“Saya harap kita semakin hampir dengan apa yang berlaku kepada Amri.”

Pesuruhjaya Mah bertanya kepada Zainol mengenai kemajuan dalam mendapatkan Syed Azahar.

Faisol berkata dia akan meminta kawannya Anwar yang lebih rapat dengan Syed Azahar untuk menghubunginya.

Mah bertanya sama ada keluarga Syed Azahar berada di Kangsar.

Zainol berkata “ya”.

Siasatan berhenti berehat 10 minit.

Norhayati Ariffin, isteri aktivis hilang, Amri Che Mat pada sesi pendengaran siasatan Suhakam semalam. Menurutnya, terdapat kereta dan motorsikal tidak dikenali berada di kawasan rumah mereka pada hari aktivis itu hilang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Januari, 2018.

10.35am: Pegawai Suhakam bertanya Faisol mengenai lawatannya ke Bukit Aman.

Faisol berkata mereka ke Bukit Aman untuk memeriksa status Amri yang dipindahkan dari Perlis ke Bukit Aman.

“Kami diberitahu mereka tidak menerima apa-apa fail mengenai kehilangan Amri.”

Suhakam kemudian bertanya Faisol adakah dia memberi nombor telefon Inspektor Khor dari Perlis kepada Bukit Aman yang mengatakan kes itu di berada Bukit Aman.

Faisol berkata dia memberi nombor kepada pegawai bernama Pedro.

“Pegawai itu kemudian pergi dan mula bercakap. Kami tidak dapat mendengar perbualan mereka.

“Sehingga hari ini tiada respons dari Bukit Aman.”

Pegawai Suhakam bertanya berapa kali dia menghubungi polis untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang kes Amri.

Faisol berkata beliau menghubungi polis kira-kira 10 kali.

“Saya menelefon, pergi ke balai polis dan juga berjumpa dan minum kopi bersama mereka.”

10.25am: Pegawai Suhakam bertanya Faisol mengenai mereka yang mempunyai pandangan buruk terhadap Perlis Hope.

Faisol berkata ia disebabkan Jabatan Agama Islam Perlis membuat tuduhan terhadap mereka.

“Mereka langsung tidak menelefon untuk berbincang dengan kami apa masalahnya.”

Pegawai Suhakam bertanya bagaimana dia tahu ia adalah Jabatan Agama Islam Perlis.

Faisol berkata surat yang tersebut itu mengenai Perlis Hope yang ditandatangani oleh pengarah Jabatan Agama Islam Perlis.

“Surat-surat itu juga tersebar ke sekolah agar berhati-hati dengan Perlis Hope dan Syiah.”

Suhakam bertanya sama ada dia telah melihat surat itu.

Faisol berkata seorang guru telah menghantar surat itu kepadanya.

10.10am: Pegawai Suhakam bertanya Faisol sama ada Amri mempunyai sebarang masalah kewangan.

Faisol berkata Amri tidak mempunyai masalah kewangan.

Faisol kemudian menjawab “tidak” bagi pertanyaan Suhakam mengenai terdapat sesiapa yang mengancam Amri kerana aktiviti forexnya.

9.50am: Pegawai Suhakam bertanya Faisol jika Perlis Hope terlibat dalam sebarang aktiviti keagamaan.

Faisol berkata para sukarelawan dilarang berkongsi kepercayaan agama mereka.

“Terdapat sukarelawan Melayu, India dan Cina di sini, tidak ada penyebaran mana-mana agama.”

Pegawai Suhakam bertanya Faisol mengenai surat dihantar Jabatan Agama Islam Perlis kepada Perlis Hope yang meminta mereka berhenti menyebarkan ajaran Syiah.

Faisol berkata tiada unsur ajaran Syiah di Perlis Hope.

9.40am: Pegawai Suhakam bertanya sama ada mereka melakukan sebarang program dengan agensi kerajaan.

Faisol berkata mereka pernah menjalankann program bubur lambuk dengan Jabatan Kesihatan Perlis.

“Apabila kami ingin menjalankan program kedua untuk memberi beg sekolah dan pakaian seragam, Jabatan Kesihatan meminta kami membatalkan program itu.

“Apabila saya bertanya kenapa, mereka kata awak mesti faham.”

Bagaimanapun, Faisol berkata mereka meneruskan program.

“Ini kerana Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin telah membuat kenyataan mengenai Perlis Hope dan surat-surat yang memberitahu orang ramai agar berwaspada terhadap Perlis Hope yang tersebar.”

9.30am: Siasatan Suhakam bersambung dengan Faisol memberi keterangan sebagai saksi.

Pegawai Suhakam bertanya Faisol mengenai laman sesawang Perlis Hope dan meminta menerangkannya lebih lanjut.

Faisol berkata Perlis Hope adalah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang membantu golongan miskin, anak yatim, ibu tunggal dan mereka yang memerlukan.

Pegawai Suhakam bertanya sama ada ini adalah misi Perlis Hope yang dia menjawab “ya”. – 25 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • semua saksi yg ada perlu memberi kerjasama kpd pihak polis serta mahkamah bg memudahkan serta melancarkan proses pendakwaan kes ini..

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amer Farid · Ulasan