Ketua SPRM perlu bercuti untuk elak konflik kepentingan, kata Guan Eng


Lim Guan Eng mendesak supaya Ketua SPRM Azam Baki (gambar) bercuti sementara siasatan kes tiga pegawainya yang dituduh salah guna kuasa dan mencuri berkaitan kes Hasanah Ab Hamid. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 September, 2021.

KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki perlu bercuti sementara kerana wujudnya konflik kepentingan dalam siasatan sedang dijalankan berkaitan tuduhan salah guna kuasa dan dana awam melibatkan pegawai agensi itu, kata Lim Guan Eng.

Setiausaha agung DAP itu berkata dengan Azam masih menerajui agensi itu, beliau akan menjadi batu penghalang kepada siasatan sah dan bebas tanpa ketakutan atau kebimbangan campur tangan pihak atasan sepanjang ia dijalankan.

“Bagaimana SPRM boleh diamanahkan untuk menyiasat dirinya sendiri berkaitan salah laku jenayah ini? Tambahan pula, perkara ini sepatutnya diuruskan oleh polis kerana rompakan (salah guna dana) tidak berada di bawah bidang kuasa SPRM tetapi ia ditangani oleh polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Isnin lepas, SPRM mengesahkan tiga pegawainya ditahan bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan salah guna kuasa dan salah laku dalam kes berkaitan bekas ketua pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia Hasanah Ab Hamid.  

Hasnah dilepaskan tanpa dibebaskan oleh mahkamah tinggi pada April lepas berkaitan tuduhan pecah amanah melibatkan RM50.4 juta dana awam.

Dalam siasatan yang sedang berlangsung itu, tiga pegawai SPRM itu direman selama enam hari bermula 14 hingga 19 September.

Wakil rakyat dan kumpulan sivil bagaimanapun mempersoalkan mengapa SPRM yang menyiasat pegawainya sendiri sedangkan kesalahan itu di bawah Kanun Keseksaan dan bidang kuasa polis.

Lim yang juga ahli Parlimen Bagan berkata, skandal melibat pegawai SPRM itu menimbulkan persoalan tentang kemampuannya melakukan siasatan bebas tanpa berat sebelah.

“Skandal AS$6 juta ini seterusnya memburukkan lagi kekurangan keyakinan rakyat kepada integriti dan kewibawaan SPRM untuk melakukan siasatan korupsi yang bebas tanpa campur tangan.

“Ini juga menimbulkan persoalan tentang rekod buruk SPRM yang berulang kali gagal bertindak ke atas korupsi didakwa dibuat politikus yang menyokong kerajaan, tetapi pada masa sama bersedia terlibat menjadi senjata dan alat mendakwa politikus pembangkang,” kata Lim lagi.

Menteri Undang-Undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar bagaimanapun mempertahankan SPRM dengan berkata agensi itu berhak menyiasat skandal itu.

Membantah pandangan Wan Junaidi, Lim berkata pendirian menteri itu bertentangan dengan prinsip kedaulatan undang-undang, tadbir urus baik, ketelusan, integriti awam dan kebertanggungjawaban.

“Sementara kita menanti perbincangan Wan Junaidi dengan Perdana Menteri (Ismail Sabri Yaakob) tentang status Azam Baki sebagai ketua SPRM, kedua-dua agensi SPRM dan polis perlu berterus terang tentang kerugian barang dalam kes korupsi melibatkan AS$6 juta tunai.”

Awal hari ini, laporan media menyebut yang SPRM sudah merampas aset bernilai RM1.6 juta milik salah seorang pegawai dikaitkan dengan skandal itu. – 26 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen