SPRM sita RM1.6 juta, siasatan 3 pegawai barang kes hilang


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita sejumlah aset bernilai RM1.6 juta dalam siasatan ke atas tiga pegawainya yang didakwa terlibat dengan kehilangan duit RM25 juta barang kes dalam kawalan agensi itu, lapor Mingguan Malaysia.

Ia menyita sebuah rumah di Selangor, dua motosikal jenis Ducati serta dua buah kereta jenis Mercedes Benz dan Honda Type R.

Semua harta berkenaan dipercayai milik pegawai SPRM berpangkat penguasa kanan gred 44 berusia 40, kata laporan itu yang memetik sumber.

“SPRM sedang melakukan do­­kumentasi untuk mengetahui ‘asal-usul’ pemilikan semua harta itu memandangkan penguasa kanan terbabit dikesan hidup mewah melebihi gaji yang sepatutnya.

“Siasatan kini tertumpu kepada penguasa kanan berkenaan kerana dia antara individu yang bertanggungjawab menyimpan ex­hibits sesuatu kes yang disiasat.

“Bagaimanapun, SPRM turut memperincikan siasatan bagi melihat rekod pemilikan wang, harta benda membabitkan dua lagi pegawai yang ditahan,” kata sumber.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan siasatan SPRM menemukan beberapa kereta mewah di tempat letak kereta sebuah hotel di Kuala Lumpur, selain wang tunai bernilai RM50,000, dipercayai milik penguasa kanan itu.

Sebelum itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abd Jalil Hassan juga berkata seorang daripada tiga pegawai SPRM berkenaan ditahan untuk siasatan kes pemilikan dadah serta senjata api dan peluru.

Minggu lalu SPRM mengesahkan tiga pegawainya ditahan reman enam hari antara 14 hingga 19 September untuk membantu siasatan dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes terhadap seorang bekas ketua jabatan.

Menurut laporan media, mereka disiasat antaranya mengikut Seksyen 23(a) Akta SPRM 2009 kerana disyaki menyalah guna kuasa melupuskan barang kes serta undang-undang pengubahan wang haram.

Barang kes yang disiasat hilang dilaporkan ada kaitan dengan wang rampasan daripada bekas ketua pengarah Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia Hasanah Abd Hamid tiga tahun lalu.

Pada April 2021, Hasanah dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas pihak pendakwa menarik balik pertuduhan terhadapnya.

Beberapa pihak termasuk pemimpin Pakatan Harapan kemudian mendesak Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki direhatkan sementara siasatan kes melibatkan tiga pegawainya.

Utusan Malaysia semalam melaporkan tiga pegawai SPRM berkenaan akan dihadapkan ke mahkamah sementara SPRM dan Polis DiRaja Malaysia dijangka mengadakan sidang media mengenai kes ini dalam masa terdekat. – 26 September, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen