Ku Li sukar kembalikan Umno ke asal, kata bekas pemimpin, penganalisis


Diyana Ibrahim

Penganalisis berkata sukar untuk Tengku Razaleigh Hamzah menghidupkan kembali Umno asal atas pelbagai kerumitan termasuk isu undang-undang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 September, 2021.

TENGKU Razaleigh Hamzah berdepan laluan sukar untuk menjayakan misi menghidupkan kembali Umno asal, kata bekas pemimpin Semangat 46 dan penganalisis politik.

Menurut mereka selain kerumitan proses mahkamah, ia turut melibatkan persoalan mengenai status parti Umno yang wujud masa ini, dan sama ada usaha putera raja Kelantan itu akan disokong.

Salah seorang pemimpin utama Semangat 46, Rais Yatim berpendapat demikian kerana usaha itu melibatkan tindakan mencabar keputusan mahkamah 33 tahun lalu yang mengharamkan Umno.

Bekas pemimpin nombor dua dalam Semangat 46 itu memberitahu The Malaysian Insight, beliau berpendapat usaha itu hampir mustahil dan peluang untuk menang amat tipis.

“Oleh kerana 33 tahun perkara itu tidak semudah mana, walaupun kita tahu tujuan Tengku Razaleigh mungkin dianggap murni dari beberapa sudut.

“Cuma kekangan masa kerana sudah beroperasi sekian lama (Umno) dan tidaklah mudah mana- mana pihak untuk mencabar ketua pengarah Pendaftaran Pertubuhan (RoS),” kata senator itu.

Umno asal yang ingin dihidupkan semula Tengku Razaleigh itu musnah ekoran perpecahan yang timbul dalam selepas pemilihan parti 1987.

Kumpulan pengikut Tengku Razaleigh pada masa itu mengemukakan saman di mahkamah selepas calon mereka itu gagal mencabar Dr Mahathir untuk meraih jawatan presiden Umno.

Ia membawa kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengisytiharkan Umno sebagai pertubuhan haram pada tahun berikutnya.

Jelasnya, beliau bersama Tengku Razaleigh bercadang menubuhkan Umno 46 tetapi pendaftar pertubuhan pada waktu itu tidak mengizinkan penubuhan parti baharu dengan nama serupa.

Anehnya, Umno tidak menggunakan nama baharu selepas didaftarkan semula selepas diharamkan, jelas Rais.

“Sebab Umno selepas diharamkan memperbaharui nama pertubuhan itu tapi tak guna nama baharu.

“Muslihat ini yang harus diperbaiki jika dihidupkan Umno lama itu semula maka Umno baharu (selepas diharamkan) mesti tertera parti yang menggunakan nama itu – Umno baharu,” katanya.

Umno seterusnya didaftarkan semula pada Februari 1988 dengan nama sama manakala Tengku Razaleigh menubuhkan parti Semangat 46 bagi membawa semangat dan falsafah Umno asal.

Mengulas perkembangan yang berlaku setakat ini, Rais berkata saman baharu yang dipertimbangkan oleh Tengku Razaleigh pada waktu ini juga melibatkan isu nama Umno.

Umno asal yang ingin dihidupkan semula Tengku Razaleigh Hamzah musnah ekoran perpecahan yang timbul dalam selepas pemilihan parti 1987. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 September, 2021.

Oleh itu beliau menjangka saman kali ini akan berdepan masalah serupa berkaitan nama pertubuhan tersebut.

“Kalau Jabatan Pendaftar Pertubuhan setuju (ia) mungkin berjaya, tapi nama apa nak dipanggil? Parti Umno atau Umno baharu, itulah muslihatnya,” katanya.

Usaha menghidupkan semula Umno asal itu disebut Tengku Razaleigh dalam ucapan minggu lalu di Dewan Rakyat dan menegaskan pengharaman pada 1988 tidak sah dan bermotif politik.

Sehari selepas kritikan itu Tengku Razaleigh meletak jawatan pengerusi Lembaga Jemaah Penasihat Umno atasa alasan parti itu terus memberi restu kepada kerajaan yang gagal.

Selari dengan itu, muncul satu kenyataan dari satu kumpulan yang menggelar diri mereka Jawatankuasa Protem Nasional Pekembar – Umno 1946 yang dikaitkan dengan Tengku Razaleigh.

Namun salah seorang ahli kumpulan itu, Norali Nordin yang juga ketua Umno cawangan Sungai Senam, Perak  enggan mengulas lanjut apabila ditanya mengenai pertubuhan itu.

“Dalam masa beberapa hari lagi, Tengku Razaleigh akan keluarkan kenyataan jadi kita tidak akan komen apa -apa lagi buat masa sekarang sehingga selepas kenyataan tersebut,” katanya.

Peluang tipis

Penganalisis politik Azmil Tayeb pula berpendapat, usaha tersebut mungkin ditimbulkan Tengku Razaleigh kerana tidak senang dengan perkembangan yang berlaku dalam Umno waktu ini.

Pensyarah Universiti Sains Malaysia itu melihat Tengku Razaleigh tidak gemar pemimpin Umno dalam kerajaan seolah-olah bekerjasama dengan pemimpin yang berdepan kes mahkamah.

Individu yang berdepan kes mahkamah itu termasuk bekas presiden Najib Razak dan juga pengantinya waktu ini, Ahmad Zahid Hamidi yang berdepan pelbagai tuduhan di mahkamah.

“Saya rasa Tengku Razaleigh mahu Umno kekal sebagai pembangkang dan mengambil alih semula kerajaan melalui pilihan raya,” kata Azmi.

Pada masa sama, beliau juga berpendapat Tengku Razaleigh tiada peluang untuk mengembangkan parti baharu itu sekiranya dapat menghidupkan semula Umno asal.

“Pertama kerana sudah banyak parti Melayu sekarang seperti Umno, Bersatu, PAS, Amanah dan Pejuang.

“Maka, peluang untuk menang itu tipis, terutamanya parti baharu yang tidak mempunyai banyak sumber, dana dan jentera. Kedua, siapa yang akan menganggotai parti baharu ini dan kenapa?

“Ketiga, parti baharu yang berpecah daripada parti lama biasanya tidak mempunyai rekod yang bagus seperti Semangat 46 dan juga Amanah sekarang ini,” katanya.

Beliau berkata cabaran utama yang perlu dihadapi Tengku Razaleigh dalam usaha menghidupkan semula Umno asal itu ialah mendapat pengesahan RoS.

“Dan RoS adalah di bawah bidang kuasa kerajaan pusat yang diketuai orang Umno dan Bersatu yang mungkin tidak senang dengan kewujudan parti baharu ini,” katanya.

Implikasi undang-undang

Sementara itu, pensyarah Universiti Teknologi Malaysia Dr Mazlan Ali berpendapat kenyataan Tengku Razaleigh itu akan membawa kesan besar ke atas Umno.

Ini kerana parti sedia ada pada waktu ini perlu dibubarkan sekiranya mahkamaha membenarkan Umno yang asal dihidupkan semula, katanya.

“Seingat saya, dulu selepas Umno baharu ditubuhkan mereka menggunakan nama itu Umno (Baharu). Dan Tengku Razaleigh jika beliau nak tubuhkan parti asal, beliau kena pergi ke mahkamah.

“Sebenarnya bila Umno lama dihidupkan maka secara automatik Umno baharu akan dibubarkan sebab memang tidak boleh ada dua nama parti yang sama,” katanya.

Beliau juga berpendapat Tengku Razaleigh berdepan peluang sukar kerana faktor usianya yang lanjut, selain tidak mempunyai pengikut yang kuat untuk memperjuangkan perkara tersebut. – 25 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen