Ku Li letak jawatan penasihat Umno


Tengku Razaleigh Hamzah menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai penasihat Umno kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pada Isnin selepas parti itu terus beri restu kepada kerajaan yang gagal. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 September, 2021.

TENGKU Razaleigh Hamzah letak jawatan pengerusi Lembaga Jemaah Penasihat Umno selepas parti itu terus memberi restu kepada kerajaan yang gagal.

Beliau menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pada Isnin, yang salinannya dilihat The Malaysian Insight.

“Dengan perantaraan surat ini, saya mohon berundur daripada jawatan pengerusi Jemaah Penasihat Umno, jawatan yang tidak berperlembagaan,” katanya dalam surat bertarikh 20 September. 

Ketua Umno Gua Musang berkata Umno mengambil masa untuk memutuskan kerjasama dengan Bersatu walaupun perkara itu sudah diluluskan sebulat suara dalam perhimpunan agung parti, yang berlangsung pada hujung Mac 2020.

Beliau menarik perhatian bagaimana usul itu apabila dilaksanakan, telah “memberikan kesan segera”, merujuk pada peletakan jawatan bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 16 Ogos.

Muhyiddin letak jawatan selepas 14 ahli parlimen Umno menarik balik sokongan mereka kepadanya untuk terus menerajui kerajaan, pada awal Ogos. 

Umno juga kemudian mendedahkan Tengku Razaleigh, selaku Ahli Parlimen Gua Musang, tidak pernah menyokong kerajaan Muhyiddin.

Selepas pentadbiran Muhyiddin jatuh, Umno bagaimanapun memberi restu kepada pimpinan yang dipilih dan anggota kerajaan yang menggantikan kerajaan “gagal”, kata Tengku Razaleigh, merujuk Ismail Sabri Yaakob dan anggota Jemaah Menterinya.

Umno memberi restu, katanya, “walaupun rata-rata orang ramai dan akar umbi menzahirkan kekecewaan mereka kerajaan hampir semua jawatan dipenuhi oleh mereka dari kalangan kerajaan “gagal”.”

“Bolehkah mereka ini bantu parti kita tebus kekalahan kita dalam PRU15 dan akhiri Parlimen yang tergantung,” tanyanya.

“Bolehkah kita bergantung harap kepada mereka ini memberi kemenangan kepada parti kita dalam PRU15 nanti?”

Semalam, dalam ucapan di Dewan Rakyat, Tengku Razaleigh mengkritik keras Umno dan menegaskan pengharaman Umno pada 1988 tidak sah kerana ia bukan isu undang-undang tetapi agenda politik. – 22 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen