LEMBAGA pengarah Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) bertemu pengarahnya, Kristalina Georgieva yang menekan pekerja supaya ubah suai laporan agar menjaga hati republik komunis China.
Lembaga bagaimanapun tidak mengumumkan keputusan segera, berkata akan bertemu kembali tidak lama lagi.
“Lembaga Eksekutif IMF bertemu hari ini untuk taklimat awal dari Jawatankuasa Etika mengenai masalah yang berkaitan dengan peranan Pengarah Urusan Kristalina Georgieva dalam laporan Doing Business 2018 Bank Dunia seperti yang dijelaskan dalam Laporan Siasatan,” kata IMF dalam satu pernyataan.
Ia menambah lembaga “menekankan pentingnya ia ditugaskan untuk melakukan kajian menyeluruh, objektif, dan tepat selain bersetuju untuk bertemu kembali tidak lama lagi untuk perbincangan selanjutnya.”
Lembaga itu telah bertemu dengan Georgieva pada Selasa, yang menolak tuduhan itu pada Khamis dan Jumaat lepas setelah hasil siasatan diumumkan.
Siasatan bebas mendapati bahawa semasa menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Bank Dunia, Georgieva dan Presiden Bank Dunia ketika itu, Jim Yong Kim menekan kakitangan untuk mengubah metodologi mereka untuk membolehkan China tidak merosot dalam kedudukan yang dipantau dengan ketat.
Siasatan yang dibuat atas permintaan jawatankuasa etika Bank Dunia itu telah menimbulkan rasa tidak percaya terhadap institusi antarabangsa tersebut.
“Ini adalah penemuan serius,” kata Perbendaharaan Amerika Syarikat dalam satu kenyataan, menyatakan ia sedang menganalisis laporan berkenaan.
“Tanggungjawab utama kami adalah untuk menegakkan integriti institusi kewangan antarabangsa.”
Berdasarkan penemuan tersebut, Bank Dunia telah mengumumkan ia serta merta menghentikan laporan Doing Business selepas siasatan mendapati terdapat penyelewengan dalam edisi 2018 dan 2020.
Georgieva, warga Bulgaria yang mengepalai IMF pada Oktober 2019, menolak rumusan laporan tersebut.
“Saya tidak setuju dengan penemuan dan tafsiran Penyiasatan Penyelewengan Data kerana ia berkaitan dengan peranan saya dalam laporan Doing Business Bank Dunia 2018,” katanya dalam satu kenyataan.
Tuduhan itu boleh merosakkan reputasinya, malah mengundang kritikan hebat terhadap organisasi itu dan bagaimana mereka melayan China. – AFP, 22 September, 2021.
Komen