Ketua IMF nafi ubah suai laporan Bank Dunia untuk jaga hati China


Satu siasatan bebas mendapati Ketua IMF Kristalina Georgieva telah mengarahkan pekerjanya mengubahsuai satu laporan Bank Dunia agar menjaga hati kerajaan komunis China.– Gambar EPA, 17 September, 2021.

KETUA Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) Kristalina Georgieva pada Khamis menafikan siasatan bebas yang mendapati dalam pekerjaannya sebelum ini di Bank Dunia, beliau menekan pekerja supaya ubah suai laporan agar menjaga hati republik komunis China.

Berdasarkan penemuan tersebut, Bank Dunia umum ia serta merta telah menghentikan laporan Doing Business selepas siasatan mendapati terdapat penyelewengan dalam edisi 2018 dan 2020.

Georgieva, warga Bulgaria yang mengepalai IMF pada Oktober 2019, menolak rumusan laporan tersebut.

“Saya tidak setuju dengan penemuan dan tafsiran Penyiasatan Penyelewengan Data kerana ia berkaitan dengan peranan saya dalam laporan Doing Business Bank Dunia 2018,” katanya dalam satu kenyataan.

Tuduhan itu boleh merosakkan reputasinya, malah mengundang kritikan hebat terhadap organisasi itu dan bagaimana mereka melayan China.

“Ini adalah penemuan serius,” kata Perbendaharaan Amerika Syarikat dalam satu kenyataan, menyatakan ia sedang menganalisis laporan berkenaan.

“Tanggungjawab utama kami adalah untuk menegakkan integriti institusi kewangan antarabangsa.”

Georgieva berkata beliau memberi taklimat kepada lembaga IMF mengenai keadaan itu. Lembaga itu dijangka bertemu untuk membincangkan isu tersebut tetapi tidak jelas bila.

Justin Sandefur dari Pusat Pembangunan Global, yang telah menulis secara mendalam mengenai masalah dengan metodologi laporan itu, berkata: “Kita perlu dengar ceritanya, tetapi sekarang tidak berapa bagus nampaknya.”

“Bagi ketua IMF yang terlibat dalam manipulasi data adalah tuduhan yang cukup memalukan,” katanya kepada AFP. “Itu nampaknya benar-benar menghentam kredibiliti mereka.” – AFP, 17 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen