Peruntukan RM1 juta perkukuh tebing Sungai Kemensah, kata menteri


Kejadian tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights pada Jumaat lepas menyebabkan 27 rumah penduduk terjejas, selain menyekat aliran sungai di bawah bukit kawasan itu daripada terus mengalir. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 September, 2021.

PERUNTUKAN RM1 juta telah diluluskan bagi melaksanakan kerja-kerja pengukuhan dan penstabilan tebing Sungai Kemensah serta lain-lain kerja yang berkaitan, susulan kejadian tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights, Jumaat lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Abd Latiff Ahmad berkata peruntukan itu adalah daripada Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) yang diurus oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Beliau berkata peruntukan itu diluluskan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya ia akan digunakan bagi menyediakan laluan masuk, platform jentera dan pemasangan cerucuk keping (sheetpile) sepanjang 200 meter untuk mengelakkan kerosakan harta benda penduduk yang tinggal berhampiran sungai itu.

“Kerja-kerja ini perlu dilakukan bagi membaik pulih aliran dan tebing sungai untuk mengurangkan risiko pergerakan tanah ke atas lot-lot unit kediaman di kawasan bersebelahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Kajian penilaian dan tindakan ini diselaras secara bersama oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) dan Cawangan Kejuruteraan Cerun Jabatan Kerja Raya,” tambahnya.

Pada 17 September lepas kejadian tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights itu menyebabkan 27 rumah penduduk terjejas, selain menyekat aliran sungai di bawah bukit kawasan itu daripada terus mengalir. – Bernama, 21 September, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen