Jangan paksa kami suntik, kata individu tidak yakin vaksin


Noel Achariam

Mereka yang menolak vaksin Covid-19 berkata maklumat lengkap tentang keberkesanan vaksin sangat samar, malah ada yang masih dijangkiti dan mendapat komplikasi selepas disuntik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 September, 2021.

MASIH ada rakyat tolak vaksinasi kerana tidak yakin, sedangkan Malaysia tengah berusaha menyuntik 80 peratus populasi dewasa terhadap Covid-19 menjelang hujung bulan depan.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight kenapa mereka enggan disuntik adalah kerana tiada bukti mereka tidak akan dijangkiti koronavirus walaupun mereka diberikan vaksin.

Mereka juga berkata kurangnya maklumat tentang vaksin dan keberkesanannya, antara penyebab mereka menolak suntikan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kerajaan menjangkakan 80% populasi dewasa akan diberi vaksin pada akhir bulan depan, ketika Covid-19 akan menjadi endemik.

Pada Isnin, 18.45 juta orang atau 78.8% populasi dewasa telah lengkap divaksinasi dua dos.

Ini bermaksud kadar vaksinasi dewasa sebanyak 80% dapat dicapai pada hari ini (Selasa), dan 100% dewasa akan menjelang 8 November.

Bagi Mike yang berusia 41 tahun, beliau tidak berminat untuk ditunik memandangkan keberkesanan vaksin tidak lengkap.

“Info tentang vaksin tidak jelas dan sangat samar. Yang saya bimbang, kenapa hendak letak benda asing dalam tubuh saya. Saya tidak faham ini.

“Situasi sekarang walaupun kita diberi vaksin sepenuhnya, kita masih boleh dijangkiti,” katanya yang tidak mahu dikenali.

Mereka yang tolak vaksin tidak bersedia menerima kesan sampingan yang lebih memperburukkan lagi keadaan kesihatan mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 September, 2021.

Mike, yang bekerja sebagai guru muzik swasta, berkata beliau telah memberitahu pelanggannya tentang keadaannya dan mereka tidak meraguinya.

Katanya, ada beberapa perubahan gaya hidup terpaksa beliau hadapi kerana tidak divaksin.

“Saya jarang sangat keluar. Tetapi, saya masih boleh guna MySejahtera untuk ke kedai runcit, cari makanan.

“Saya suka bawa keluarga saya keluar untuk makan makanan yang sedap, tetapi saya lebih memlilih ubah gaya hidup ini daripada mengikut orang ramai.”

Mike juga berkata isterinya, yang juga tidak divaksin, menyokong pendiriannya.

“Memanglah dia takut. Tapi, kami dapat maklumat yang sama (mengenai vaksin). Dia sokong dan kami bersama dalam hal ini.”

Mengenai masalah rakan dan keluarga, beliau berkata pada awalnya terdapat beberapa reaksi negatif dari mereka.

Katanya rakan-rakannya tidak selesa dengan seseorang yang tidak diberi vaksin, sementara keluarganya prihatin terhadap kesihatannya.

Mereka berkata, gelaran antivaksin adalah satu penghinaan kerana ramai individu ada banyak alasan sensitif dan peribadi untuk tidak ambil vaksin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 September, 2021.

“Saya bukan antivaksin. Jika statistik boleh buktikan hasil 100% tak dijangkiti virus, saya akan dapatkan suntikan itu.

“Dan, jika saya dijangkiti virus itu, kerajaan kena tanggung 50% bil perubatan.”

Pada 1 September, Khairy berkata kerajaan mungkin akan mempertimbang untuk mewajibkan vaksinasi terhadap Covid-19 bagi mengatasi antivaksin.

Walaupun tidak diwajibkan mendapatkan vaksin, di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN), hanya mereka yang telah menyelesaikan dua dos sahaja dapat mengambil bahagian dalam semua aktiviti yang dibenarkan - dari ekonomi hingga sosial, dari makan di premis hingga ke masuk pejabat.

Kebanyakan individu yang menolak vaksin sanggup mengubah cara hidup seperti tidak makan ditempat dan berada di kawasan sesak kerana aktiviti seperti itu perlu menggunakan aplikasi MySejahtera. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 September, 2021.

Bersedia ambil tindakan undang-undang

Seorang wanita berusia 41 tahun yang cuma ingin dikenali sebagai Noor berkata keyakinannya terhadap vaksinasi masih rendah berdasarkan jumlah kes Covid-19 yang tinggi setiap hari.

Katanya beliau dan suami bersedia mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan jika mereka dipaksa ambil vaksin.

“Saya masih ada masalah untuk percaya tidak kira berapa banyak mereka (pihak berkuasa) kata vaksin itu selamat.”

Noor, yang merupakan perunding kesihatan dan menguruskan ladang sendiri, berkata beliau tidak pasti dengan keberkesanan vaksin sama ada ianya selamat untuk semua orang.

“Saya tahu ianya tidak sesuai untuk semua. Ia (vaksin) mungkin baik untuk sesetengah orang, tetapi saya ragu-ragu jika semuanya baik untuk saya.

“Saya tidak mahu ambil risiko. Saya tahu risiko dijangkiti Covid-19. Peluang dijangkiti lebih tinggi daripada memasukkan sesuatu yang lebih awal (vaksin) ke dalam tubuh saya.”

Mengenai aktiviti sosial tanpa vaksinasi, ibu kepada lima anak itu berkata beliau tidak terganggu dengan makan di premis.

Noor berkata satu-satunya alasan beliau akan dapatkan vaksin adalah jika suaminya dilarang masuk masjid.

“Suami saya juga tidak diberi vaksin dan kami tidak ada pelan sampailah bila betul-betul perlu. Jika ia diwajibkan, kami akan lawan.

“Jika dipaksa, kami mungkin pertimbang guna tindakan undang-undang. Buat masa ini kami tidak percaya (vaksinasi).”

Ada individu yang mungkin mempertimbangkan untuk ambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan yang antara lain kerana vaksinasi tidak boleh dipaksa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 September, 2021.

Sementara itu, Mary, pemilik perniagaan dalam talian berusia 39 tahun dan mempunyai keadaan autoimun, juga tidak yakin dengan vaksin tersebut.

“Kami tidak pasti adakah vaksin akan menyumbang kepada lebih banyak komplikasi. Terdapat kes bagi mereka yang diinokulasi sepenuhnya.

“Ada yang ragu-ragu sebab masalah kesihatan mereka. Jadi, masih ada yang tidak percaya untuk ambil vaksin yang ditawarkan itu.”

Katanya beliau tidak mahu memperburukkan lagi sistem tubuhnya yang sudah lemah.

“Saya bukan antivaksin dan istilah ini cukup menghina. Ramai orang ada banyak alasan sensitif dan peribadi untuk tidak ambil vaksin.

“Saya prokebebasan perubatan, tetapi bukan provaksin. Saya agak terganggu oleh tekanan untuk dapatkan vaksin.

“Tiada siapa ada hak ke atas tubuh orang lain. Hanya sebab seseorang divaksinasi, itu tidak bererti mereka tidak akan dijangkiti virus.”

Mary berkata walaupun beliau tidak mempunyai masalah kesihatan, beliau tidak akan ambil vaksin memandangkan vaksin itu masih belum matang.

“Saya tidak percaya syarikat farmasi. Vaksin dibuat dalam masa satu tahun, sedangkan ia perlu masa antara lapan hingga 15 tahun.

“Saya rasa asasnya lebih kepada untuk kaut keuntungan.”

Bagi pekerjaan dan aktiviti sosial, beliau berkata kerjanya kebanyakannya menjual dalam talian dan tiada interaksi dengan pelanggan.

“Saya masih keluar, tetapi saya tiada masalah untuk tidak makan di premis. Saya hanya elak tempat yang sesak.

“Ibu saya tidak diberi vaksin tetapi ayah saya disuntik. Ada juga rakan saya yang tidak mahu ambil vaksin.”

Mengenai kemungkinan kerajaan mewajibkan vaksinasi, Mary berkata beliau akan berunding dengan ahli Parlimennya dan mungkin ambil tindakan undang-undang. – 21 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen