Kerajaan perlu kembalikan khidmat kaunter dalam fasa pemulihan, kata Yeoh  


Chan Kok Leong Ragananthini Vethasalam Mohd Farhan Darwis

KERAJAAN perlu kembalikan semua khidmat kaunternya sekiranya Malaysia mahu teruskan pemulihan, kata Hannah Yeoh.

“Fasa pemulihan tidak akan berkesan sekiranya kerajaan tidak mengembalikan operasi normal kerana terlalu banyak perniagaan bergantung kepadanya untuk lesen dan permit,” kata ahli Parlimen Segambut di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata ramai rakyat Malaysia yang berdepan masalah kerana perlu membuat temu janji sebelum boleh mendapat akses ke perkhidmatan kaunter.

“Seperti sekarang, kita sudah tahu betapa sukarnya mendapatkan akses ke help desk MySejahtera untuk masalah vaksinasi Covid-19.”

Menurutnya perkhidmatan itu memerlukan talian terus dengan pegawai dan bukan hanya pada emel sahaja.

“Berhubung perkara ini, saya mencadangkan kerajaan memansuhkan MyTravelPass dan kembalikan semua khidmat kaunter kerajaan ke kapasiti normal,” kata Yeoh.

Sementara itu, beliau turut mempersoalkan mengapa Parlimen hanya benarkan 16 organisasi media membuat liputan secara fizikal.

“Bagaimana Speaker Azhar Azizan Harun memilih premis media yang dibenarkan membuat liputan sidang Parlimen secara fizikal?

“Bagaimana MalaysiaNow, yang hanya ditubuhkan tahun lalu, dibenarkan membuat liputan Parlimen sedangkan FreeMalaysiaToday, The Malaysian Insight atau Malay Mail Online tidak dibenarkan?” kata bekas speaker Dewan Undangan Negeri Selangor itu.

Beliau berkata Azhar perlu menjelaskan rasional beliau membenarkan MalaysiaNow untuk membuat liputan di Parlimen sedangkan lebih banyak media lain ditinggalkan.

“Parlimen perlu adil kepada pengamal media dan perlu benarkan kebebasan media agar mereka boleh membuat liputan semua pihak dengan adil,” katanya.

Menjadikan Covid-19 sebagai alasan. Azhar berkata hanya 16 syarikat media dibenarkan membuat liputan persidangan Parlimen secara fizikal.

Antara yang turut tidak tersenarai adalah isntitusi media seperti New Straits Times dan Utusan Malaysia.

Azhar dilihat membuat keputusan berdasarkan had liputan kepada dua organisasi berita bagi setiap bahasa atau jenis saluran media, tetapi tiada penjelasan mengapa media baru seperti MalaysiaNow diberi keutamaan. – 20 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen