Kumpulan media tuntut penjelasan sekatan liputan di Parlimen 


Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun digesa menjelaskan mengapa hanya media tertentu sahaja dibenarkan membuat liputan persidangan Parlimen.– Gambar fail The Malaysian Insight, 9 September, 2021.

SPEAKER Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun perlu menjelaskan mengapa hanya media tertentu sahaja dibenarkan membuat liputan persidangan Parlimen secara bersemuka minggu depan, kata aktivis kebebasan media. 

“Kenyataan Azhar juga tidak menyebut bagaimana pemilihan media dibuat, menimbulkan persoalan mengenai double standard dan ketelusan proses berkenaan.

“Beliau perlu menjelaskan sebab mengapa hanya membenarkan akses kepada media terpilih,” kata Centre for Independent Journalism (CIJ), Gerakan Media Merdeka (GERAMM) dan Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia  (NUJM) dalam satu kenyataan hari ini. 

Kurang seminggu sebelum persidangan Parlimen bermula pada Isnin, Azhar berkata hanya 16 syarikat media dibenarkan membuat liputan minggu depan. 

Antara yang digugurkan dari senarai media yang dibenarkan termasuk institusi media seperti New Straits Times dan Utusan Malaysia.

Azhar dilihat membuat keputusan berdasarkan had liputan kepada 2 organisasi berita bagi setiap bahasa atau jenis saluran media, tetapi tiada penjelasan mengapa media baru seperti MalaysiaNow diberi keutamaan berbanding organisasi berita seperti FreeMalaysiaToday atau Malaysia Gazette.

Isu ketidakadilan dalam liputan media bermula selepas kerajaan Perikatan Nasional mengambil alih tahun lalu. Sebelum itu dan sebelum pelantikan Azhar sebagai Speaker tahun lalu, semua media dibenarkan membuat liputan di Parlimen. 

“Organisasi media perlu diberikan kebebasan untuk membuat liputan persidangan Parlimen bermula 13 September hingga 12 Oktober 2021, kata NGO berkenaan. 

“Setiap cubaan untuk menyekat liputan organisasi media menghalang hak kebebasan media, terutamanya selepas pemimpin bercakap mengenai pembahartuan institusi dan tadbir urus yang baik.

“Sekiranya perlu mengehadkan jumlah organisasi media di Parlimen, organisasi media parlimen sedia ada perlu membincangkan dan memutuskan bagaimana membuat giliran berdasarkan liputan individu, bukan keputusan sepihak oleh pihak berkuasa atau penganjur.

“Kami menuntut sekatan ini dibatalkan untuk melindungi hak media dan menciptakan suasana selamat tanpa sekatan diskriminasi dan campur tangan.” – 9 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen