Ahmad Faizal mahu pulang gaji penasihat PM, lapor media


Ahmad Faizal Azumu berkata beliau akan memulangkan semula gaji yang diterimanya sebagai penasihat khas kepada bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 September, 2021.

AHMAD Faizal Azumu akan memulangkan semua gaji yang diterimanya sebagai penasihat khas kepada bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin untuk disumbangkan ke tabung Covid-19, lapor Mingguan Malaysia.

Hasrat itu malah sudah beliau maklumkan kepada Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali pada hari Muhyiddin letak jawatan perdana menteri dan pentadbirannya tumbang, pada 16 Ogos.

“Saya bersetuju dengan mereka (yang membangkitkan isu gaji), kerana saya belum berikan perkhidmatan yang banyak lagi, tetapi menerima pula gaji RM27,000 campur lagi prorata, mungkin lebih lagi.

“Saya berhasrat memulangkan keseluruhan penerimaan itu kepada tabung Covid-19,” katanya, seperti dipetik Mingguan Malaysia.

Timbalan Presiden Bersatu juga berkata beliau tidak kecil hati atau marah dengan pihak yang mempersoalkan pendapatan yang diterimanya atas pelantikan sebagai penasihat kepada Muhyiddin.

“Minta maaf, kepada semua yang mengata saya itu, saya ampunkan. Andai saya tersilap cakap, saya mohon ampun.

“Mereka tak salah, dan saya bersetuju dengan mereka yang bangkitkan perkara tersebut,” katanya.

Ahmad Faizal dilantik penasihat khas Muhyiddin bagi hal ehwal jalinan komuniti, komunikasi masyarakat dan pembangunan sosio-ekonomi, berkuat kuasa 1 Ogos.

Ahli Parlimen Lim Lip Eng (Kepong-PH) minggu lalu membangkitkan perkara itu dalam soalannya kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat, bertanya jumlah pendapatan Ahmad Faizal dan tugas sebenarnya untuk tempoh singkat itu.

“Memandangkan tempoh perkhidmatan beliau adalah singkat (tidak cukup sebulan), gaji sebulan beliau yang berjumlah RM27,227.20 dibayar secara pro-rata, dan juga gantian notis penamatan perkhidmatan sebanyak 1 bulan gaji. 

“Jawatan ini tidak melibatkan pembayaran pencen,” kata Ismail Sabri dalam jawapan bertulis pada 14 September.

Ismail Sabri juga berkata, Ahmad Faizal diberi tugas menasihati perdana menteri dalam hal berkaitan komunikasi komuniti.

“Beliau bertanggungjawab mewujudkan jalinan kerjasama yang erat antara kerajaan dan pimpinan masyarakat serta meningkatkan kefahaman rakyat mengenai dasar-dasar kerajaan menerusi saluran komunikasi yang berkesan dan meningkatkan sistem penyampaian Kerajaan dalam aspek pembangunan sosio-ekonomi rakyat,” katanya.

Ahmad Faizal dilantik Menteri Belia dan Sukan dalam Jemaah Menteri Ismail Sabri. – 19 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen