Muafakat Nasional belum mati, kata penganalisis


Raevathi Supramaniam

Umno dan PAS merasmikan perjanjian MN pada 14 September 2019 yang tertujuan untuk menjatuhkan Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight 178 September, 2021.

GABUNGAN Muafakat Nasional (MN) antara Umno dan PAS mungkin terjejas selepas memihak pada Bersatu ketika ini, namun ia masih bertahan, kata penganalisis. 

Walaupun hubungan kedua-dua parti itu agak hambar ketika ini, menurut penganalisis mereka mungkin bekerjasama pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana akan memberi kelebihan kepada kedua-duanya. 

Tambah mereka, Umno berkemungkinan akan mempunyai presiden baharu sebelum pilihan raya, ini juga akan menyemarakkan kerjasama. 

Namun ada penganalisis berpendapat gabungan itu sudah mati dan kedua-dua parti hanya akan bekerjasama dalam PRU15 hanya di kawasan tertentu. 

Hubungan yang dingin menyaksikan MN memperingati ulang tahunnya yang kedua pada 14 September tanpa sebarang sambutan.

“Keretakan hubungan Umno dan PAS dalam MN disebabkan oleh beberapa faktor, tetapi ia bermula selepas Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menandatangani surat akuan menyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim,” kata Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar kepada The Malaysian Insight.

Ini diburukan lagi dengan pertembungan antara parti pada pilihan raya negeri Sabah, krisis politik di Perak dan Umno menarik sokongan terhadap bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin, katanya.

“Kini MN adalah jasad tanpa jiwa tetapi masih ada orang dalam Umno seperti Tajuddin Abdul Rahman (Ahli Majlis Tertinggi Umno) dan Mohamad Hassan (timbalan presiden Umno) dan kumpulan ustaz dalam PAS yang mahukan kerjasama antara dua parti Melayu itu.

“MN relevan dalam skema pemerintahan Melayu Islam pada PRU15,” katanya.

Bagaimanapun, Hisommudin berkata persoalan apakah kerjasama itu akan berterusan bergantung kepada siapa yang akan menjadi presiden Umno seterusnya.

“Sekiranya Ismail Sabri Yaakob (perdana menteri) menjadi presiden parti pada pemilihan parti yang akan datang, pakatan MN akan lebih diterima.

“Perwatakan Ismail Sabri juga berbeza dengan watak Zahid yang tidak mempunyai hubungan kerja yang baik dengan Abdul Hadi Awang (presiden PAS).

“Sekiranya Ismail Sabri menjadi presiden, saya menjangkakan parti-parti Melayu akan bersatu pada PRU15.”

Apabila Zahid bersama 14 ahli Umno menarik balik sokongan kepada Muhyiddin, PAS memutuskan untuk terus menyokong pengerusi Bersatu, begitu juga dengan Ismail Sabri, yang tidak sependirian dengan parti.

Akhirnya, Muhyiddin mengundurkan diri kerana kehilangan majoriti dan Ismail Sabri dilantik sebagai perdana menteri kesembilan. PAS kini memegang lapan jawatan menteri dalam Kabinet baharu.

Umno dan PAS merasmikan perjanjian MN pada 14 September 2019. Tujuan gabungan itu pada awalnya adalah untuk mengambil alih Pakatan Harapan (PH) yang menang pada PRU14.

Namun, “Langkah Sheraton” menyebabkan kejatuhan PH selepas 22 bulan menjadi kerajaan. – 18 September, 2021.

Berita penuh di sini


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen