Lebih ramai dapat hadir solat Jumaat di Wilayah Persekutuan


Pengarah Jawi Mohd Ajib Ismail dalam satu kenyataan menyebut, kelonggaran itu tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan, termasuk penjarakan 1.5 meter. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 September 2021.

PIHAK berkuasa agama membenarkan semula tazkirah dan kuliah agama dan kehadiran lebih ramai bagi solat jemaah di masjid dan surau di Wilayah Persekutuan dengan ketetapan baharu.

Kelonggaran oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) itu mengikut tahap bagi Kuala Lumpur dan Putrajaya bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2 dan Labuan bawah Fasa 4.

Pengarah Jawi Mohd Ajib Ismail dalam satu kenyataan menyebut, ketetapan berkenaan tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan, termasuk penjarakan 1.5 meter.

Katanya di Kuala Lumpur dan Putrajaya, Jawi membenarkan kehadiran 500 orang bagi di Masjid Wilayah Persekutuan bagi dan 250 orang di setiap tujuh masjid zon dan kariah bagi solat Jumaat.

Di surau Jumaat pula, bilangan jemaah dibenarkan seramai 150 orang dan 100 orang bagi jemaah di surau dengan kebenaran khas mendirikan solat jemaah itu.

Seramai 80 jemaah dibenarkan hadir untuk solat Jumaat di surau serupa di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Bagi solat fardu lain, seramai 200 orang dibenarkan di Masjid Wilayah Persekutuan, 100 orang di tujuh masjid zon dan masjid kariah dan 50 orang di surau Jumaat.

Surau dengan kebenaran khas untuk mendirikan solat Jumaat pula dapat menerima jemaah maksimum 50 orang dan di PPR serta surau lain seramai 40 orang.

Kehadiran bagi kuliah pula tidak boleh melepihi ketetapan bagi solat Jumaat dan tazkirah tidak boleh melebihki had solat fardu bagi kuliah yang lain dengan penjarakan fizikal 1.5 meter.

Di Labuan bawah PPN Fasa 4 pula, jemaah untuk solat Jumaat dibenarkan memenuhi separuh dari kapasiti sebenar masjid zon, kariah surau Jumaat dan surau dengan kebenaran khas.

“... Bilangan jemaah bagi solat fardu di semua masjid dan surau dibenarkan mengikut keluasan dewan solat utama,” kata Ajib.

Kehadiran bagi kuliah dan tazkirah pula tidak boleh melebihi ketetapan untuk solat Jumaat dan bagi kuliah lain tidak boleh melebih had kehadiran solat fardu.

Menurut Ajib, ia bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong serta selaras dengan ketetapan PPN. – 16 September, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen