Selangor benar solat Jumaat di masjid, kapasiti 100 jemaah


Seramai 100 jemaah dibenar menunaikan solat Jumaat di semua masjid di Selangor berkuat kuasa mulai solat Subuh pagi tadi, kata Exco Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 September, 2021.

SERAMAI 100 jemaah termasuk pentadbir dibenar hadir menunaikan solat Jumaat di semua masjid di negeri ini berkuat kuasa mulai solat Subuh pagi tadi, kata Exco Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebook, beliau memaklumkan ketetapan baharu itu juga membenarkan 50 jemaah termasuk pentadbir melaksanakan solat Jumaat di surau kebenaran solat Jumaat, manakala surau kariah serta musolla tidak dibenarkan.

Beliau memaklumkan ketetapan itu juga membenarkan solat lima waktu dilaksanakan dengan kehadiran 50 orang jemaah termasuk pentadbir di masjid, surau kebenaran solat Jumaat dan kariah serta musolla.

“Syarat jemaah (hanya kepada) ahli kariah (lengkap dua dos) yang tinggal dalam kariah (penduduk setempat) dan melaksanakan kaedah penggiliran jika jemaah lengkap dua dos melebihi kapasiti yang dibenarkan.

“Sehubungan pelaksanaan ketetapan bilangan jemaah terbaharu itu, semua aktiviti pengimarahan termasuk kuliah, ceramah, tazkirah boleh dilaksanakan secara dalam talian dari kediaman penceramah,” katanya.

Zawawi berkata akses dan kemudahan ruang solat kepada musafir, pemandu e-hailing, khidmat penghantar makanan dan pemandu kenderaan awam hendaklah terus disediakan.

Selain itu katanya pengurusan jenazah bukan Covid-19 di masjid dan surau dengan kehadiran ahli kariah atau kaum kerabat terdekat tidak boleh melebihi 20 orang serta tidak melebihi enam orang bagi jawatankuasa masjid atau surau yang akan menguruskan jenazah. – Bernama, 3 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen