Imam pewaris Nabi, memimpin kemuliaan Islam


Mohd Syazreen Abdullah

SUATU masa dahulu Islam pernah dipimpin dengan jaya. Ia berlaku semasa pemerintahan Rasulullah SAW dan selepasnya iaitu ketika di zaman Imam Ali bin Abi Thalib di Kufah. 

Saidina Ali bin Abi Thalib ialah sahabat Rasulullah SAW yang paling utama dan agung. Dikisahkan bahawa beliau adalah seorang pemimpin yang paling sukar untuk lelap ketika ketidakadilan dan penindasan terjadi kepada orang-orang kecil.

Bahkan jiwa kepimpinan beliau penuh kezuhudan dan tanggungjawab terhadap sosial. 

Di bawah kepimpinan Imam Ali, nilai-nilai pemerintahan adil dan saksama telah berjaya diterapkan.

Beliau sangat mementingkan soal kesamarataan antara pemimpin dan rakyat. Tidak ada sekali amalan kelas sosial atau kasta yang terjadi di bawah pimpinannya.

Situasi politik umat Islam yang berpecah belah pada masa pemerintahan Imam Ali berbeza berbanding zaman Khalifah sebelumnya.

Masa pemerintahannya (35-40 H/656-661 M) tidak pernah sunyi dari pergolakan politik. Ketegangan yang terjadi menjadikan Imam Ali tekal memimpin umat dengan penuh kasih sayang dan keadilan. 

Memimpin kesamarataan 

Oleh kerana itu, kepada gabenor dan semua bawahannya, Imam Ali selalu berpesan agar melindungi hak seluruh lapisan masyarakat. Tidak ada sesiapa pun yang tertinggal dalam soal hak kesamarataan asasi.

Sikap mementingkan soal kesamarataan dalam hubungan pemimpin dan rakyat dapat dilihat pada peristiwa pengiriman surat dan nasihat beliau kepada gabenor di bawahnya, seperti gabenor Al Ashtar di Kaherah.  

Kata Ali bin Abi Thalib dalam suratnya: ’‘Pemimpin itu harus dapat melihat dengan mata rakyat, harus mengerti bahasa rakyat, dan merasakan perasaan rakyat. Memajukan kemakmuran rakyat adalah tugas setiap pemimpin.’‘

Namun demikian, Malik Ashtar tidak sempat untuk menunaikan amanah tersebut kerana meninggal dunia pada tahun 659M.

Dalam suratnya kepada Malik Ashtar, beliau sangat menekankan mengenai soal hak asasi dan kesamarataan umat manusia.

Saidina Ali menasihatkan mengenai hal yang paling tidak disukai oleh banyak pemerintah iaitu layanan tentang keadilan dan kesamarataan dalam memimpin.

Tujuannya adalah untuk memastikan rakyat dapat menikmati layanan saksama. Tidak ada jurang antara rakyat dan pemimpin. 

Kata Saidina Ali lagi kepada Malik Ashtar: “Janganlah tingginya pangkat seseorang menyebabkan perbuatan kecilnya menjadi besar dan sebaliknya janganlah pangkat yang rendah menjadikan perbuatan besarnya menjadi kecil”

Ini jelas menggambarkan betapa pentingnya memahami pentadbiran Islam dengan berkonsepkan kesamarataan dan keadilan demi kemaslahatan rakyat.

Beliau sangat jelek dengan amalan kasta semasa pemerintahan Islam suatu masa dahulu sehingga berlakunya ketidakadilan dan ketidaksamarataan dalam kehidupan sosial.

Manakala terdapat kisah lain pernah diriwayatkan, bahawa Imam Ali mendengar maklumat mengenai sikap gabenor wilayah Basrah iaitu Usman bin Hanif ketika beliau diundang dalam sebuah majlis. 

Dalam majlis tersebut, tetamu yang diundang adalah kalangan elit sahaja. Setelah mendengar hal itu, maka Imam Ali menegur Usman bin Hanif. 

Imam Ali berkata: “Aku dengar engkau telah menghadiri sebuah pesta yang hanya mengundang orang-orang mampu dan tidak ada orang fakir. Disitu engkau menikmati aneka ragam jamuan. Jika engkau ingin bekerjasama denganku, maka hindarilah perbuatan seperti itu, jika tidak aku persilakan engkau mengundurkan diri.”

Tiada jurang dan layanan Istimewa

Kesan daripada itu, bahawa nilai kesamarataan dan keadilan berjaya diterapkan dalam kehidupan bermasyarakat.

Akhirnya beliau berjaya mendidik bahawa semua orang harus dinilai dengan sama rata di hadapan undang-undang. 

Di hadapan Allah semua manusia adalah sama. Sama ada pemimpin atau dipimpin. Bahkan ketika itu pemimpin tidak lagi melanggar undang-undang sebaliknya mewujudkan sikap kesamarataan kepada rakyat. Masing-masing menghormati perundangan dengan sikap saksama. 

Justeru, kehidupan pemimpin yang berkuasa pada waktu itu adalah tidak ada beza dengan rakyat biasa di bawah.

Pemimpin selalu datang dan duduk sama-sama rakyat mendengar rintihan dan kesusahan hidup.

Mereka duduk bersama rakyat di dalam rumah Allah sehinggakan tidak lagi kelihatan jurang atau perbezaan kelas antara pemimpin dan rakyat. 

Sudah pasti tidak ada layanan “VIP” kepada pemimpin ketika waktu itu. Mereka bergaul seperti rakyat kebiasaan. Kedudukan mereka sama seperti rakyat biasa. Tidak ada jurang dan keistimewaan.

Ini situasi yang terjadi di masjid pada zaman awal Islam di bawah kepimpinan Imam Ali.

Setelah hilangnya jurang perbezaan darjat dan kasta dalam kelas sosial, sehingga budaya itu mekar di masjid-masjid sekali gus menjadi pusat penyatuan antara pemimpin dan rakyat bagi tujuan kemaslahatan hidup bersama.

Hebatnya Imam Ali sebagai pemimpin umat Islam yang punya semangat keadilan sekali gus memimpin rakyat dan pemimpin mengenai soal keadilan dan kesamarataan dalam penyatuan kehidupan masyarakat.

Pemimpin yang memimpin

Namun, situasi berbeza pada hari ini. Pengamalan terhadap kesamarataan dan keadilan terpesong jauh. Tidak seperti situasi pada zaman Islam awal. 

Pemimpin agama diberikan tauliah untuk memimpin Islam “tampak” seolah utamakan kebajikan kekuasaan pemimpin berbanding rakyat.

Jauh sekali memimpin soal keadilan dan saksama. Bahkan gamak mempertahankan budaya ketidakadilan dan kesamarataan terjadi dalam rumah Allah. 

Inilah kesan apabila pemimpin gagal mencorak kehidupan rakyat dengan nilai-nilai kesamarataan dan keadilan. Lihat yang berlaku baru-baru ini mengenai soal “siapa cepat dia dapat dan kuota VIP” tidak seharusnya terjadi dalam rumah Allah. 

Pemimpin hari ini tidak lagi duduk sama-sama bersama rakyat di masjid seperti amalan pemimpin di zaman pemerintahan Imam Ali.

Sebaliknya pemimpin dan elit kekuasaan hari ini diberi layanan cukup istimewa dalam rumah Allah berbanding rakyat biasa. Sedangkan masjid itu terbuka kepada sesiapa sahaja untuk mahu mendekatkan diri kepada Allah. 

Masjid merupakan lambang kesamarataan bagi semua manusia. Tempat penyatuan umat sejagat. Pusat menyelesaikan kesusahan dan rintihan rakyat.

Malangnya pemimpin Islam pada hari ini gagal memimpin sehingga masjid tidak lagi sebagai simbol kesamarataan umat. Sebaliknya simbol kekuasaan dan elit politik. 

Jangan jadikan masjid dilihat fitnah kepada agama. Tempat prejudis.

Mereka harus tegas dan punya semangat perlawanan kesamarataan dan keadilan persis Imam Ali. Lihat ketegasan Imam Ali melawan puak propagandis semasa pemerintahannya.

Sebagaimana masjid pernah dicemarkan oleh puak-puak propagandis yang telah membangkitkan api fitnah terhadap agama. Lalu ia menjadi pusat perpecahan umat Islam. Seperti di Basrah. 

Kita tidak mahu pemimpin yang diberi tauliah memimpin Islam pada hari ini mengikuti jejak “propagandis” yang digelar puak perosak terhadap kesucian masjid. 

Maka nilai keadilan, kesamarataan dan kemanusiaan telah lupus di atas mimbar oleh puak propagandis. Namun, mujur ada Imam Ali yang bijak memimpin dengan membangkitkan semangat perlawanan menentang kebatilan dan kerosakan.

Beliau tidak biarkan kerosakan terus berleluasa. Bahkan mengangkat semangat keadilan dan kesamarataan dengan seruan perlawanan terhadap amalan yang dianggap “bidaah mungkar”.

Demikian kita semua harus insaf melihat keteladanan Imam Ali dalam mengangkat soal keadilan dan kesamarataan.

Kita dapat pelajari dari Imam pewaris nabi ini bahawa Islam bukan agama pilih-pilih mengikut darjat dan kedudukan. Apatah lagi memeluk kekuasaan. Sebaliknya Islam mengajarkan kesamarataan untuk semua. 

Sebagai pemimpin Islam, tonjolkan teladan baik persis kepimpinan Imam Ali.

Jangan sesekali menjadi Muslim perosak kemuliaan agama – fitnah kepada Islam. – 14 September, 2021.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen