Kami akan buru dana 1MDB sampai ke pintu Najib, kata Dr Mahathir


Low Han Shaun

SEKIRANYA pembangkang memegang tampuk kuasa, pemburuan dana 1MDB yang hilang akan dilakukan sehinggalah ke depan pintu perdana menteri, kata Dr Mahathir Mohamad hari ini.

“Kita tahu di mana duit itu, dan kita akan cuba mengambil balik semua duit itu, walaupun sampai ke pintu Najib,” kata mantan perdana menteri itu dalam siaran langsung di Facebook hari ini, merujuk kepada berbilion ringgit yang digelapkan menerusi 1Malaysia Development Bhd dan penafian Najib yang dia menerima faedah daripada dana tersebut.

Dr Mahathir menjawab lima soalan selama 30 minit sesi “Hangpa tanya, Chedet jawab”.

“Kami (Pakatan Harapan) mungkin tidak akan dapat semua tetapi kami akan dapatkan sebanyak mungkin,” kata pemimpin berusia 92 tahun itu.

Dia banyak kali menuduh Najib mencemarkan reputasi Malaysia kerana hutang dan skandal 1MDB.

Dalam sesi itu, Dr Mahathir juga berkata yang pembangkang bukan sekadar akan menghalang satu lagi skandal serupa 1MDB daripada berlaku tetapi juga akan menyelesaikan hal berkaitan- iaitu isu Bandar Malaysia.

“Kami bukan hanya mahu menghalang masalah 1MDB daripada berlaku lagi, tetapi kami juga akan mencari jalan penyelesaian yang boleh menghalang kehilangan wang sepertimana dalam 1MDB dan Bandar Malaysia.”

Mantan perdana menteri itu, yang memerintah negara sejak 1981 hingga 2003, juga ditanya sekiranya dia menentang orang Cina dan pelaburan dari China ke Malaysia.

“Sekiranya ada perbezaan dalam status kekayaan antara dua kaum, akan wujud ketegangan dan pergaduhan…ia juga boleh mewujudkan komunisme dan sosialisme untuk merapatkan jurang ini.

“Kerana itu untuk elakkan komunisme dan sosialisme, kita cuba untuk menghapuskan jurang antara kaum, tidak kisahlah Melayu, India atau Cina.

“Perdana menteri Malaysia menganggap China sebagai negara yang kaya dan dia mahukan duit, jadi dia bagi kontrak besar kepada China, dan beli keretapi elektrik dari China, bila dia mahu bayar, dia tak ada duit, jadi dia jual tanah Malaysia kita ke China,” katanya, merujuk kepada kemelut urus niaga Bandar Malaysia.

Seorang penonton bertanyakan mengapa Dr Mahathir tidak mengubah Malaysia menjadi negara yang lebih Islamik ketika dia menjadi perdana menteri.

“Pertamanya, berkenaan dengan dasar yang diapnggil Islamik, kita menerimanya sebagai dasar untuk menyuburkan nilai Islamik. Kerana bukan semua rakyat Malaysia ialah orang Islam, kita tidak boleh melakukan perkara yang boleh cetuskan kekecohan.

“Ia bertentangan dengan nilai Islamik untuk buat begitu, Tuhan tak bagi kita buat kecoh. Tetapi jika anda lihat nilai Islam, semua orang menerimanya…kerana itu kita utamakan nilai Islam.”

Dia juga menyentuh kadar pengangguran yang tinggi, Dr Mahathir berkata yang negara yang aman, selamat dan mesra perniagaan sangat penting untuk membentuk lebih banyak peluang pekerjaan.

“Dasar Najib ialah menambah  pendapatan, tetapi peningkatan pendapatan sahaja tidak menyelesaikan masalah kerana apabila anda meningkatkan pendapatan sahaja, kos pengeluaran dan sara hidup juga akan meningkat.

“Jadi, sekiranya kita ada duit yang banyak, kita akan beli banyak barang yang akan naikkan harga, ini yang berlaku di banyak negara luar sehingga semua orang jutawan, tapi tak boleh beli barang yang banyak kerana nilai mata wang jatuh.”

Di penghujung sesi, Dr Mahathir berkata yang dia akan melakukan siaran langsung sekali lagi tidak lama lagi. – 19 Mei, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen