Kerajaan, PH meterai persefahaman kerjasama esok


Memorandum persefahaman yang akan dimeterai esok adalah susulan pertemuan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan pimpinan tertinggi Pakatan Harapan pada 25 Ogos 2021. – Gambar Pejabat Perdana Menteri, 12 September, 2021.

PENTADBIRAN Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob akan memeterai memorandum persefahaman dengan Pakatan Harapan esok, demi kestabilan politik negara di tengah pandemik Covid-19.

Persetujuan itu diumumkan wakil kedua-dua pihak dalam satu kenyataan bersama malam ini.

“Semua pihak bersetuju bahawa memorandum persefahaman ini adalah untuk mengembalikan kestabilan politik negara demi menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara melalui pendekatan kerjasama dwipartisan,” kata kenyataan itu.

Majlis menandatangani persefahaman akan berlangsung di Dewan Bankuet Parlimen, 5 petang esok.

Ia akan disempurnakan oleh Ismail Sabri dan ketua parti dalam Pakatan Harapan iaitu Anwar Ibrahim (PKR), Mohamad Sabu (Amanah), Lim Guan Eng (DAP) dan Wilfred Madius Tangau (UPKO).

Kedua-dua pihak juga berharap persefahaman yang dimeterai esok akan membuka landskap politik baharu melalui transformasi dan pembaharuan terhadap tatakelola pentadbiran kerajaan, terutamanya memperkukuhkan institusi parlimen.

“Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk mendedahkan sepenuhnya memorandum persefahaman ini kepada umum sebagai komitmen terhadap keterbukaan penuh dan kebertanggungjawaban,” tambah kenyataan itu.

Kenyataan malam ini menyebut persefahaman dicapai hasil beberapa pusingan rundingan antara lima wakil kerajaan dan enam wakil PH.

Pihak kerajaan diwakili Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin, yang juga setiausaha agung Perikatan Nasional merangkap setiausaha agung Bersatu, dan Menteri Tenaga dan Sumber Asli Takiyuddin Hassan, yang juga setiausaha agung PAS.

Tiga lagi wakil kerajaan adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa, dan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Enam wakil PH adalah Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub, Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke, Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan Gobind Singh Deo, Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin, dan Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil.

Pada Jumaat, Ismail Sabri mengumumkan tujuh cadangan pembaharuan yang serupa dengan cadangan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin pada 13 Ogos semasa beliau cuba mendapatkan sokongan pembangkang selepas ahli parlimen Umno menarik balik sokongan kepadanya.

Cadangan Muhyiddin pada masa itu ditolak kerana dikemukakan lambat, ketika beliau sudah hilang sokongan majoriti untuk kekal sebagai perdana menteri, manakala cadangan Ismail Sabri dibuat ketika pentadbirannya dibentuk, kata pemimpin PH. – 12 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen