Rashid hina Parlimen tolak usul ganti speaker Dewan Rakyat, kata Ngeh Koo Ham


Ahli Parlimen Beruas Ngeh Khoo Ham membidas tindakan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon menolak usul ahli Parlimen mahu Azhar Azizan Harun letak jawatan speaker untuk diganti dengan calon lain.– Gambar fail The Malaysian Insight, 12 September, 2021.

TIMBALAN Yang di-Pertua Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon menghina Parlimen apabila menolak usul ahli Parlimen mahu Azhar Azizan Harun letak jawatan speaker untuk diganti dengan calon lain, kata Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham.

Katanya, Rashid melakukan salah besar menolak usul yang dikemukakan oleh beberapa ahli Parlimen menjelang sidang Dewan Rakyat bermula esok.

“Tindakan-tindakan Rashid ini merupakan satu penghinaan kepada institusi demokrasi tertinggi negara kita.

“Tugas Yang di-Pertua dan Timbalan Yang di-Pertua adalah untuk mempengerusikan dan memastikan kelancaran sidang Parlimen. Mereka memegang jawatan-jawatan mereka melalui  pemilihan yang dibuat oleh ahli-ahli Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, Rashid tiada kuasa untuk menolak cadangan menukar speaker atau timbalan speaker kerana jawatan itu ditentukan oleh anggota Dewan Rakyat.

“Rashid telah melakukan satu salah laku besar sebagai seorang Timbalan Yang di-Pertua,” katanya.

Ngeh mengulas keputusan Rashid menolak usul Ahli Parlimen Bagan Datuk Ahmad Zahid Hamidi untuk Azhar mengosongkan kerusinya dan seterusnya, mencalonkan Azalina Othman Said sebagai pengganti.

Rashid juga sebelum ini menolak usul pengosongan kerusi yang sama daripada Ahli Parlimen Pantai Dalam Fahmi Fadzil dan Ahli Parlimen Pulai Salahuddin Ayub.

Menurut Ngeh, jawatan speaker dan timbalan speaker Dewan Rakyat sepatutnya diundi apabila Dewan Rakyat bersidang mulai esok, selepas ada dua calon masing-masing untuk kedua-dua kerusi itu.

“Mana-mana budak sekolah pun tahu perlunya  proses pemilihan ini. Sekiranya Yang di-Pertua dan Timbalan Yang di-Pertua tidak memahami peraturan asas demokrasi ini, mereka harus segera meletakkan jawatan,” katanya.

Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan yang juga setiausaha agung Umno dicalonkan untuk mengisi kekosongan kerusi timbalan speaker selepas Azalina letak jawatan bulan lepas.

Bekas timbalan speaker Nga Kor Ming juga dicalonkan semula oleh ahli parlimen Pakatan Harapan.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijadual membuka Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 pada Isnin.

Dewan Rakyat ditetapkan bersidang 17 hari dengan agenda utama membahaskan titah diraja dan pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12). – 12 September, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen