AHLI Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham mencadangkan agar kerajaan menggunakan Kanun Keseksaan untuk memastikan rakyat patuh pada prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) daripada mengenakan denda maksimum RM10,000.
Beliau yang juga peguam berkata polis boleh mengambil pendekatan dengan memberi amaran terlebih dahulu kepada orang ramai, kemudian mendakwa mereka di bawah Kanun Keseksaan sekiranya masih berdegil.
“Sekiranya mereka enggan mendengar amaran dan mematuhi arahan polis, pesalah-pesalah yang keras kepala hendaklah didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang pegawai awam daripada menjalankan tugasnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pesalah boleh dihukum penjara tidak lebih daripada 2 tahun dan/atau denda tidak melebihi RM10,000.00 mengikut seksyen berkenaan.
“Saya percaya orang ramai akan menyokong dan berpuas hati dengan pendekatan seperti ini kerana mereka diberi amaran terlebih dahulu tentang pelanggaran peraturan-peraturan yang selalu berubah-ubah dari hari ke hari.”
Minggu lalau Putrajaya mengumumkan individu yang ingkar PKP akan dikenakan denda sehingga RM10,000 manakala bagi syarikat yang melakukan kesalahan sama akan dikenakan denda sehingga RM50,000, berkuatkuasa 11 Mac.
Perkara tersebut dinyatakan dalam Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengendalian Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 melalui warta Kerajaan Persekutuan yang dimuat naik di portal rasmi Jabatan Peguam Negara.
Jumlah kompaun semasa bagi pesalah PKP adalah RM1,000.
Langkah tersebut mendapat kritikan pelbagai pihak yang disifatkan terlalu keras terhadap golongan berpendapatan rendah.
Dua hari lalu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata kompaun hanya akan dikenakan terhadap individu yang melakukan kesalahan berulang. – 1 Mac, 2021.
Komen