Bila apa didengar dan dicakapkan semula adalah dengar cakap


TAJUK berita “Agong perkenan tak perlu undi percaya PM, kata Wan Junaidi” memang menangkap perhatian.

Kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Yang di-Pertuan Agong memaklumkan kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob undi percaya terhadapnya sebagai perdana menteri tidak perlu dibentang di Dewan Rakyat.

Kata Wan Junaidi, perkara tersebut diberitahu Ismail Sabri sendiri pada mesyuarat pertama Kabinet minggu lalu.

Mengikut undang-undang keterangan, apa yang dikatakan Wan Junaidi tentang apa yang dimaklumkan Agong kepada Ismail Sabri adalah dengar cakap – hearsay dalam Bahasa Inggeris.

Lainlah kalau perdana menteri sendiri yang berkata bahawa YDPA memaklumkan kepadanya undi percaya tidak perlu.

Di bawah undang-undang keterangan, apa-apa fakta diterima secara lisan yang hendak dibuktikan, maka hendaklah dibuktikan oleh orang yang menerima penyataan lisan itu secara langsung.

Oleh itu, apa-apa kenyataan oleh orang yang tidak menerima penyataan lisan itu secara langsung tidak boleh diterima dalam mahkamah kerana kenyataan orang itu adalah keterangan dengar cakap.

Kenyataan itu dikatakan sebagai kenyataan tanpa pengetahuan peribadi. Ia adalah kenyataan dengar cakap dan tidak boleh diterima sebagai keterangan, kecuali penyataan lisan mengenai sesuatu fakta itu dibuat “seseorang yang sudah mati atau tidak dapat ditemui, atau sudah menjadi tidak berupaya untuk memberikan keterangan, atau kehadirannya tidak dapat didapatkan tanpa kelengahan atau perbelanjaan yang pada pendapat mahkamah tidak munasabah dalam hal keadaan kes itu.”

Contoh, dalam kes Wan Rahmah Wan Abdullah v Mohd Sukri Mat & Anor (2016), semasa perbicaraan di mahkamah, saksi pertama dan kedua memberi keterangan mereka diberitahu oleh si mati semasa beliau masih hidup mengenai suatu transaksi jual beli tanah.

Malah, mengikut saksi kedua yang tinggal serumah dengan si mati, selain mengetahui mengenai transaksi jual beli tanah tersebut, beliau melihat si pembeli datang ke rumah dan si mati menyerahkan duit penjualan tanah tersebut kepada si pembeli.

Dalam kes ini, pihak defendan berhujah keterangan saksi pertama dan kedua tidak boleh diterima kerana ia adalah keterangan dengar cakap. Hanya si mati yang boleh mengesahkan transaksi jual tanah tersebut. Tapi, bak kata orang Inggeris, dead men tell no tales.

Pun begitu, mahkamah memutuskan keterangan saksi pertama dan kedua boleh diterima di bawah pengecualian kepada keterangan dengar cakap.

Jadinya, apa yang didengar dan dicakapkan semula oleh Wan Junaidi tentang undi percaya adalah dengar cakap. – 9 September, 2021.

* Hafiz Hassan ialah pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen