YANG di-Pertuan Agong memaklumkan kepada Ismail Sabri Yaakob undi percaya terhadap perdana menteri tidak perlu dibentang di Dewan Rakyat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Perkara tersebut diberitahu Ismail Sabri sendiri pada mesyuarat pertama Kabinet minggu lalu, katanya pada sidang media hari ini.
“Sebenarnya, ketika perdana menteri menghadap Tuanku, beliau mendapat perkenan Tuanku yang beliau tidak perlu mengadakan undi percaya.
“Saya tahu kerana perdana menteri beritahu saya perkara ini semasa mesyuarat Kabinet pertama kami,” katanya pada sidang media di Putrajaya, seperti dipetik Free Malaysia Today.
Katanya lagi, Perlembagaan memberikan kuasa terbesar kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melantik perdana menteri yang diyakini baginda mempunyai sokongan majoriti, yang ketika itu mendapat sokongan 114 ahli Parlimen
“Ini bukan lagi suatu anggapan tetapi semua ahli Dewan Rakyat berkenaan bersemuka sendiri dengan Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan sokongan mereka kepada Perdana Menteri.
“Jadi pada pandangan saya dalam masa singkat ini tidak mungkin 114 ahli Parlimen berkenaan akan menukar pendirian untuk tidak menyokong Perdana Menteri semasa sidang Parlimen akan datang.
“Jika masa sudah berlalu enam atau tujuh bulan mungkin ada perubahan pemikiran berlaku tetapi dalam masa singkat…Perdana Menteri baru duduk di kerusinya perkara berkenaan tidak akan berlaku,” katanya seperti dipetik portal PNBBC.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 18 Ogos lalu bertitah perdana menteri baharu perlu mendapatkan undi percaya di Dewan Rakyat sebaik sahaja dilantik ke jawatan itu untuk mengabsahkan dirinya mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan.
Sejak Ismail Sabri angkat sumpah jawatan pada 21 Ogos, pembangkang menegaskan beliau perlu segera membentang usul undi percaya seperti dititahkan baginda.
Tiga hari lalu, Peguam Negara Idrus Harun berkata tiada keperluan untuk mengabsahkan pelantikan Ismail Sabri sebagai perdana menteri atau kerajaan pimpinannya kerana ia ditubuhkan mengikut lunas undang-undang. – 7 September, 2021.
Komen