SPRM Kedah tahan CEO, 3 pegawai kanan GLC disyaki seleweng dana


Pengarah SPRM Kedah Shaharom Nizam Abd Manap mengesahkan tangkapan tersebut, berkata perbuatan itu dipercayai dibuat antara 2016 sehingga 2019. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 September, 2021.

SEORANG Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat berkaitan kerajaan (GLC) antara empat individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah hari ini, bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana berjumlah kira-kira RM2.2 juta.

Menurut sumber SPRM, kesemua suspek yang berumur 49 hingga 58 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Kedah pada jam 3.45 petang hingga 4.15 petang tadi selepas hadir memberi keterangan.

Katanya siasatan awal mendapati CEO dan tiga lagi pegawai kanan syarikat itu disyaki menyalahgunakan kuasa dan kedudukan mereka dengan menyalurkan dana GLC tersebut ke dalam dua syarikat yang disyaki kesemua suspek mempunyai kepentingan dalam syarikat tersebut. 

Menurut sumber itu lagi, perbuatan itu dipercayai dilakukan antara tahun 2016 sehingga 2019.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Katanya, kesemua suspek juga akan dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar esok bagi mendapatkan perintah reman. – Bernama, 8 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen