Kumpulan agama mahu PM jelas RUU syariah baharu


Kumpulan antara agama hari ini menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob perjelaskan tentang undang-undang syariah baharu yang salah satunya bertujuan menyekat penyebaran agama bukan Islam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 September, 2021.

PERDANA menteri perlu perjelaskan adakah kerajaan akan perkenalkan Rang Undang-Undang (RUU) syariah baharu bagi menyekat penyebaran agama bukan Islam, kata kumpulan antara agama.

Majlis Perundingan Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) berkata sebelum rakyat jadi risau, Ismail Sabri Yaakob mesti jelaskan mengenai RUU Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam.

“Setiap orang ada hak untuk menganut dan sebarkan agama mereka mengikut Perkara (4) Perlembagaan Persekutuan.

“Malah, hak kebebasan beragama sangat mendasar sehingga tidak boleh digugat walaupun negara berada dalam keadaan darurat. Ini termaktub dalam Perkara 150 (6A),” kata mereka dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu disokong oleh Majlis Gurdwara Malaysia (MGC) dan presiden MCCBCHST Sardar Jagir Singh Arjan Singh; Persekutuan Pertubuhan Taois Malaysia Dao Zhang Tan Hoe Chieow; Presiden Hindu Sangam Malaysia R.S. Mohan Shan; Ketua Biskop Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) Julian Leow Beng Kim; dan Yang Berhormat Persatuan Buddha Malaysia (MBA) Lee Terk.

Awal minggu ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Ahmad Marzuk Shaary dilaporkan berkata Putrajaya sedang merangka empat undang-undang syariah baharu, termasuk menyekat penyebaran agama-agama bukan Islam.

Ahmad Marzuk berkata tiga draf lain adalah RUU Wakaf, Mufti dan Mahkamah Syariah.

Ini bukan kali pertama Ahmad Marzuk bercakap mengenai isu 11 undang-undang syariah sama ada pindaan atau akta baharu untuk menguruskan hal ehwal orang Islam. Beliau pernah dilapor pada Mac 2021 bercakap mengenai hal sama.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata belum ada cadangan untuk melaksanakan akta menyekat dan mengawal penyebaran agama-agama bukan Islam.

Katanya cadangan itu perlu dibawa ke Kabinet dan mendapat kelulusan terlebih dahulu.

MCCBCHST berkata mereka berpuas hati dengan kenyataan Wan Junaidi, namun ia berlawanan dengan kenyataan Ahmad Marzuk.

“Kenyataan timbalan menteri (Ahmad Marzuk) telah timbulkan kebimbangan orang bukan Islam dan dengan itu penjelasan oleh menteri (Wan Junaidi) membantu tenangkan keadaan.

“Ahmad Marzuk tidak tarik balik kenyataannya, jadi MCCBCHST berhasrat terangkan ada banyak kekurangan dalam kenyataannya itu.

“Kami ingin ingatkan Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan memaktubkan tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya.

“Oleh itu, MCCBCHST mahu ingatkan Ahmad Marzuk struktur asas Perlembagaan tidak membenarkan Negara Islam teokratik untuk Malaysia.” – 8 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen