PUTRAJAYA perlu segera mengadakan sistem penilaian dalam talian dan kemasukan ke hospital buat pesakit Covid-19 yang kuarantin di rumah bagi mengurangkan kes kematian di rumah (BID), kata pakar kesihatan dan dua ahli Parlimen.
Mereka berkata walaupun jangkitan baharu kini menurun, kes BID pula meningkat kerana sistem kesihatan negara tidak dapat membendung kemerosotan pesakit Covid-19 di rumah secara mengejut.
Data Kementerian Kesihatan menunjukkan sebanyak 1,891 kematian dicatatkan pada minggu 27 Ogos hingga 2 September, di mana 476 atau 25% adalah kes BID.
Daripada 1,891 kematian, 695 kes di Selangor, di mana 204 atau 29% adalah kes BID. Ini bermaksud Selangor menyumbang 42.8% daripada jumlah kes BID negara.
Bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin perlu membuat sistem hospitalisasi pesakit Covid-19 dan penilaian dalam talian untuk pesakit bagi mencegah masalah BID.
Katanya, kementerian perlu meningkatkan pengawasan kuarantin di rumah dan segera mengatur pasukan tindak balas.
“Sistem pemantauan pengasingan di rumah perlu dibuat. Pertama, berikan oksimeter, dan kemudian atur penilaian tatap muka secara dalam talian,” kata Dr Lee.
“Oksimeter akan bantu pesakit pantau sendiri tahap oksigen.”
Beliau berkata kementerian perlu menyusun kakitangan perubatan agar melakukan komunikasi telefon atau video untuk menilai keadaan pesakit.
“Apabila ada gejala, kakitangan perubatan yang berpengalaman akan tahu pesakit perlu dimasukkan ke hospital, dan langkah dapat diambil untuk hantar pesakit ke hospital.
“Ada sukarelawan di Lembah Klang yang berikan perkhidmatan seperti itu. Kementerian dapat mula melatih kumpulan individu ini.”
Dr Lee juga berkata doktor am juga dapat membantu menilai pesakit.
Beliau turut mengesyorkan untuk bekerjasama dengan pengendali e-hailing dan menubuhkan pasukan pengangkutan pesakit untuk menghantar pesakit Covid-19 ke hospital kerana banyak aduan tindak balas lewat ambulans.

Isu BID juga dibangkitkan veteran DAP Lim Kit Siang semalam yang mendesak Khairy turunkan jumlah kes tersebut kepada satu digit pada akhir 100 hari pertamanya bertugas.
Lim yang juga ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata Khairy berjanji untuk bersikap telus dan memberikan data Covid-19 lebih terperinci kepada orang ramai, sambil menambah beliau perlu memberikan perincian setiap negeri dan mensasarkan pengurangan kes tersebut.
Sementara itu Adun Pandamaran Tony Leong Tuck Chee mempersoalkan mengapa jumlah kematian masih tinggi ketika jumlah pesakit di unit rawatan rapi dilaporkan menurun.
Beliau berkata kadar kematian bagi pesakit Kategori 3 Covid-19 (radang paru-paru) masih tinggi, sambil menambah pesakit kategori ini biasanya dikuarantin di rumah.
Leong berkata pesakit Kategori 3 mengalami kemerosotan secara tiba-tiba apabila mereka diperlukan kuarantin di rumah dan pada masa mereka dihantar ke hospital ia sudah terlambat.
“Tidak ada respons daripada staf perubatan dan pesakit tidak tahu perlu merujuk kepada siapa ketika menghadapi masalah,” katanya.
“Ahli keluarga si mati mengadu rawatan dan layanan perubatan yang teruk.”
Sediakan kit kuarantin
Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata pesakit Covid-19 diminta pergi ke pusat penilaian Covid-19 terlebih dulu dan tidak terus ke bilik kecemasan bagi mendapatkan bantuan.
“Mereka akan dihantar pulang setelah memakai gelang kuarantin diri tetapi mereka yang tinggal di rumah kos rendah tidak ada tempat sesuai untuk pengasingan malah keadaan pekerja asing lebih teruk,” katanya.
Santiago berkata keadaan pesakit merosot ketika berada di rumah, terutama mereka yang mengalami komorbiditi, tetapi sudah terlambat ketika dihantar ke hospital.
Beliau berkata ramai pesakit tidak tahu bagaimana menilai keadaan mereka dan dengan kemiskinan, mereka tidak mampu beli vitamin atau peralatan untuk periksa keadaan diri.
Santiago berkata kerajaan perlu mengatur agar kit kuarantin diberikan kepada setiap pesakit Covid-19, seperti oksimeter, vitamin dan antibiotik.
Tambahnya, sukar untuk menentukan sama ada sebahagian kes kematian disebabkan oleh Covid-19 tanpa autopsi.
“Fokus bukan pada sama ada mereka ini diasingkan di rumah, tetapi adakah mereka dapat diasingkan dengan betul.
“Jika ada keperluan untuk mereka duduk di rumah, maka pihak berkuasa perlu pastikan kuarantin dibuat dengan baik,” kata Santiago. – 7 September, 2021.
Komen