Kit Siang gesa Khairy tangani kes kematian di luar hospital segera


Data kes Covid-19 menunjukkan situasi di Malaysia lebih buruk berbanding Indonesia dan India dengan jumlah kematian di luar hospital semakin bertambah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 September, 2021.

MENTERI Khairy Jamaluddin perlu memberi perhatian menurunkan jumlah kes kematian di luar hospital kepada satu digit sebelum tamat tempoh 100 hari pertamanya bertugas selepas ia mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 107 kematian semalam, kata Lim Kit Siang.

“Khairy berjanji untuk bersikap telus dan memberikan data Covid-19 lebih terperinci kepada orang ramai,” kata veteran DAP itu dalam satu kenyataan.

“Beliau boleh memulakannya dengan memberikan perincian setiap negeri berhubung kes kematian harian Covid-19 di luar hospital dan mensasarkan pengurangan kes tersebut kepada satu digit harian menjelang akhir 100 hari pertamanya sebagai menteri kesihatan baharu.

“Ini adalah hari keempat Malaysia mencatatkan tiga digit bagi kes kematian di luar hospital dan trend ini perlu dihentikan segera.”

Beliau berkata Khairy perlu mengadakan pertemuan segera dengan pakar kesihatan awam dan swasta mengenai kadar kematian Covid-19 yang tinggi, terutama melibatkan kes kematian di luar hospital.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri juga memberi amaran bahawa Malaysia berada di landasan yang salah dalam perang melawan Covid-19 selepas seminggu kerajaan baharu berkuasa, kes baharu mengatasi Indonesia berdasarkan jumlah penduduk, sementara jumlah kematian harian lebih tinggi berbanding India.

“Mengapa kita melakukannya dengan buruk dalam perang melawan pandemik Covid-19, bahkan kalah berbanding Indonesia dan India,” kata Lim.

Memetik data daripada “Out World in Data”, Lim berkata pada 4 September, jumlah kes Covid-19 bagi persejuta penduduk Indonesia adalah 14,921,08, India 23,674,79 dan Malaysia 55,663,54.

“Kes harian Covid-19 per sejuta penduduk adalah: Indonesia 24.34, India 30.69 dan Malaysia 581.43,” katanya.

“Data kematian Covid-19 per sejuta penduduk juga tidak begitu bagus.

“Bagi jumlah kematian Covid-19 per sejuta penduduk, data tersebut adalah Indonesia 490.19, India 316.15 dan Malaysia 545.61. Untuk kematian harian Covid-19 per sejuta penduduk, data tersebut adalah Indonesia 1.95; India 0.22 dan Malaysia 11.04.

“Indonesia mempunyai populasi Malaysia sebanyak lapan kali ganda , namun selama 19 hari berturut-turut, Malaysia mempunyai lebih banyak kes Covid-19 setiap hari berbanding Indonesia. Semalam, kita mencatatkan 20,396 kes Covid-19 dan Indonesia 5,403 kes - kira-kira satu perempat dari Malaysia,” katanya.

“Paling tidak dapat diterima adalah kita juga kalah dengan India dalam kematian harian Covid-19. India mempunyai lebih 42 kali ganda penduduk Malaysia, namun untuk hari kedua, terdapat lebih banyak kematian Covid-19 di Malaysia berbanding di India,” tambahnya.

Malaysia semalam melaporkan 336 kematian Covid-19 sementara India melaporkan 218 kematian Covid-19. 

Sehari sebelumnya, jumlah kematian sebanyak 363 orang di Malaysia sementara 120 orang meninggal dunia akibat Covid-19 di India.

Semalam, negara melaporkan 20,573 kes pulih, 20,396 jangkitan baharu dan 336 kematian. Kes aktif berjumlah 255,789. – 6 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen