Muhyiddin terima pelantikan pengerusi Majlis Pemulihan Negara tanpa imbuhan


Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai perdana menteri pada 16 Ogos. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 September, 2021.

MUHYIDDIN Yassin menerima pelantikannya sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara tetapi akan berkhidmat secara sukarela tanpa sebarang imbuhan.

Bekas perdana menteri berkata pelantikan itu amanah kerajaan kepadanya untuk meneruskan perancangan pemulihan daripada wabak Covid-19 yang sudah beliau lakukan sebelum ini.

“Saya berbesar hati menerima pelantikan ini dan akan menjalankan tugas secara sukarela tanpa apa-apa imbuhan.

“Kepercayaan yang telah diberikan oleh kerajaan ini merupakan suatu amanah untuk saya meneruskan segala usaha dan perancangan yang telah dimulakan sebelum ini untuk memulihkan negara daripada kesan wabak Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhyiddin mengulas pengumuman pelantikannya yang dibuat oleh Jemaah Menteri dalam mesyuarat pertama pentadbiran Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, Rabu lalu.

Pelantikannya diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali yang juga setiausaha Jemaah Menteri.

Muhyiddin sebelum ini memegang jawatan sama selaku perdana menteri selepas Majlis Pemulihan Negara dibentuk pada 16 Julai menggantikan Jawatankuasa Khas Kabinet Pelan Pemulihan Negara.

Majlis itu bertanggungjawab memastikan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk keluar daripada wabak Covid-19 berjalan lancar serta mengukuhkan lagi strategi kawalan wabak secara menyeluruh.

Pelan itu, yang diumumkan pada 16 Jun, membahagikan keadaan kepada empat fasa mengikut kadar jangkitan, penggunaan kemudahan hospital dan kadar penduduk sudah disuntik vaksin.

Dalam kenyataan itu, Muhyiddin turut merakamkan penghargaan kepada Jemaah Menteri dan Ismail Sabri atas pelantikannya serta menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong atas perkenan Seri Paduka Baginda.

Menurut Muhyiddin, beliau dan anggota MPN akan membantu pentadbiran Ismail Sabri membawa Malaysia melalui fasa pemulihan yang ditetapkan dalam Pelan Pemulihan Negara.

Majlis itu akan menyokong Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang sedang berjalan serta memudah cara pembukaan pelbagai sektor untuk kembali beroperasi dengan norma baharu ketika pengurusan wabak masuk ke fasa endemik, katanya.

“Insya-Allah, saya akan memanfaatkan segala pengalaman yang ada dan mengharapkan sokongan semua pihak dalam semangat Keluarga Malaysia bagi memastikan matlamat melindungi nyawa, menjamin kelangsungan hidup dan memulihkan negara akan mencapai kejayaan,” kata Muhyiddin.

Muhyiddin meletak jawatan pada 16 Ogos selepas hilang keyakinan majoriti di Dewan Rakyat susulan tindakan sekumpulan ahli parlimen Umno menarik balik sokongan mereka terhadapnya.

Beliau digantikan oleh Ismail Sabri yang mengangkat sumpah jawatan perdana menteri pada 21 Ogos. – 4 September, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen