DAP sedia timbang tawaran PM bagi pemulihan negara, kata Guan Eng


Pembabitan pembangkang tidak boleh sekadar perwakilan yang menurut kata sahaja, kata Guan Eng. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Ogos, 2021.

DAP akan mempertimbangkan tawaran Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob terhadap pembangkang untuk menyertai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan jawatankuasa khas bagi menangani Covid-19, kata Lim Guan Eng hari ini.

Setiausaha agung DAP itu menyatakan mereka sedia menimbangkan tawaran itu untuk “menyelamatkan nyawa dan kehidupan”.

Bagaimanapun ahli parlimen Bagan itu berkata, pembabitan pembangkang tidak boleh “sekadar perwakilan yang menurut kata sahaja”.

“Pemenang tidak boleh mengambil semuanya dan yang kalah tidak patut kalah semuanya,” katanya dalam hantaran Facebook beberapa jam selepas Ismail membuat tawaran itu dalam ucapan sulungnya kepada rakyat sebagai perdana menteri.

Ismail berkata, adalah mustahak kestabilan politik dicapai menerusi kebersamaan dan ia termasuk kerjasama rentas parti.

Beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dalam pertemuannya dengan pemimpin parti baru-baru ini, meminta semua ahli parlimen supaya berdamai dan menghentikan perebutan kuasa demi kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, semua parti patut bekerja sebagai satu pasukan untuk memelihara keharmonian. “Dalam erti kata lain, kita perlu mendakap erat prinsip kebersamaan.

“Justeru, saya ingin menawarkan ruang kepada (pemimpin) pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19,” kata Ismail.

Ismail adalah perdana menteri kesembilan, menggantikan Muhyiddin Yassin dari Bersatu selepas ahli parlimen Pagoh itu hilang sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Ismail menjadi perdana menteri ketiga berkhidmat sejak pilihan raya umum 2018. – 22 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen