Pakar sambut baik langkah kembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen


Raevathi Supramaniam

Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 akan diperkenalkan semula dan pakar perlembagaan berkata ia dapat memastikan ada pemisahan kuasa antara Parlimen dan eksekutif. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 September, 2021.

PENGENALAN semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 akan memastikan ada pemisahan kuasa yang sebenar antara Parlimen dan eksekutif serta mengembalikan autonomi kepada Dewan, kata pakar.

Pakar perlembagaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia Faridah Jalil berkata pengenalan akta itu akan membenarkan Parlimen menjalankan pentadbiran dan kewangannya sendiri tanpa campur tangan kerajaan.

“Staf Parlimen terdiri daripada mereka yang berada di dalam perkhidmatan awam, tetapi kita perlukan staf yang tidak berat sebelah kerana mereka akan berurusan dengan orang ramai yang mempunyai pelbagai pandangan politik,” katanya pada forum atas talian anjuran Bersih 2.0 dan Institut Reformasi Politik dan Demokrasi.

“Mereka perlu untuk ada sifat tidak berat sebelah dan tiada kecenderungan kepada parti tertentu ketika menjalankan tugas.”

Pada masa ini, staf yang bertugas di Parlimen dilantik daripada perkhidmatan awam sementara kewangannya di bawah bidang kuasa jabatan perbendaharaan.

Beliau berkata Parlimen sepatutnya mempunyai kuasa autonomi untuk memilih kakitangannya berdasarkan merit, bukannya sekadar menempatkan kakitangan awam mengikut kepada kekananan.

“Ada banyak pangkalan data kumpulan bakat di Malaysia. Staf berkenaan sepatutnya dilantik berdasarkan merit, bukan kekananan dalam perkhidmatan awam. Mereka juga perlu berminat dengan proses dan kemampuan Parlimen,” katanya.

Pagi ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pentadbiran baharu Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob akan memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen untuk memberi lebih kebebasan kepada Parlimen.

Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 adalah undang-undang yang membolehkan Parlimen menjalankan pentadbiran, kakitangan dan pembiayaannya sendiri.

Akta itu dimansuhkan pada 1992 selepas speaker Dewan Rakyat Zahir Ismail melakukannya secara sepihak. – 3 September, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen