Kerajaan bakal perkenal semula Akta Perkhidmatan Parlimen, kata menteri


Kerajaan bakal memperkenalkan semual Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 yang dimansuhkan pada 1992. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 September, 2021.

KERAJAAN baharu akan memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen untuk memberi lebih kebebasan kepada Parlimen, kata Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) berkata, kerajaan juga akan menggantikan Akta Kuasa dan Keistimewaan Parlimen 1952 dan meminda Peraturan Mesyuarat bagi Parlimen.

“Langkah (untuk memperkenalkan kembali Akta Perkhidmatan Parlimen) sesuai dengan apa yang telah diambil oleh Parlimen lain di peringkat antarabangsa. Ini berdasarkan Artikel 62 (prosedur Parlimen) dan Artikel 63 (Hak Keistimewaan Parlimen) di bawah Perlembagaan Persekutuan, ”kata ahli Parlimen Santubong dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun dan Presiden Dewan Negara Dr Rais Yatim sudah diberitahu mengenai perkara ini ketika pertemuan mereka semalam.

Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 adalah undang-undang yang membolehkan Parlimen menjalankan pentadbiran, kakitangan dan pembiayaannya sendiri.

Akta itu dimansuhkan pada 1992 selepas Speaker Dewan Rakyat Zahir Ismail secara sepihak.

Namun, sebilangan besar anggota Parlimen meminta agar akta tersebut dihidupkan kembali pada Oktober 2005, ketika isu pemisahan kuasa disuarakan di Dewan Rakyat oleh pemimpin pembangkang, Lim Kit Siang.

Mengenai Akta Hak Keistimewa dan Kuasa Parlimen 1952, Wan Junaidi berkata ia akan diganti kerana sudah lapuk.

“Daripada mengubahnya, lebih baik kita tampil dengan undang-undang Parlimen yang lebih komprehensif, inklusif dan lengkap.

“Ini juga mencontohi apa yang sedang dibuat oleh kebanyakan negara komanwel seperti Australia, Kanada, New Zealand dan India,” kata bekas timbalan speaker Dewan Rakyat itu.

Mengenai Peraturan Mesyuarat, Wan Junaidi berkata kerajaan akan memindanya sejajar dengan pengenalan semula Akta Perkhidmatan Parlimen.

“Walaupun ada pindaan dibuat dari semasa ke semasa, banyak peraturan ini merupakan peninggalan Perjanjian Persekutuan 1948, yang hanya dipinda pada 1956 bagi kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957.

“Itu kemudian diubah pada 1959 untuk menjadi dasar kepada Peraturan Mesyuarat Dewan Negara dan Dewan Rakyat. Bagaimanapun, banyak peraturan ini tidak dapat menampung banyak perkara moden di Parlimen.

“Banyak negara Komanwel membuat perubahan diperlukan terhadap peraturan dan prosedur mereka di Parlimen agar sesuai dengan waktu sekarang dan dalam usaha kita untuk mereformasi Parlimen, sangat penting bagi kita membuat lebih banyak perubahan dan peningkatan terhadap beberapa peraturan yang mungkin tidak lagi sesuai dalam persekitaran masa kini.

“Pindaan yang dibuat juga harus memfokuskan kepada usaha memperkasakan jawatankuasa Parlimen,” kata Wan Junaidi.

Beliau berkata akan ada jawatankuasa bersama antara Parlimen dan kerajaan untuk memastikan pelbagai cadangan yang dibincangkan dapat dilaksanakan segera. – 3 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen